Categories: HiburanSelebriti

Hairul Azreen Umum Bersara Dalam Dunia Lakonan – “Saya Dah Rasa Puas”

Pelakon Hairul Azreen mengumumkan dirinya bakal bersara dalam industri lakonan ketika ke udara di sebuah stesen radio, pagi ini.

Pengumuman tersebut telah dibuat di hadapan penyampai radio stesen terbabit iaitu Radin, Azad Jazmin, Linda Onn dan Halim Othman sekali gus mengejutkan orang ramai.

Menurut Hairul, dia sudah puas berkarya dalam industri lakonan tanah air dan mengambil keputusan untuk fokus sepenuhnya terhadap keluarga dan perniagaannya.

“Saya nak mengumumkan saya berhenti berlakon for good. Sebab saya dah buat semua benda dah. Saya dah jadi seorang pelakon start daripada stunt, saya dah jadi pelakon filem, saya doa saya jadi hero filem.

“Allah makbulkan, sekarang saya jadi hero pelakon aksi filem. Filem Paskal saya buat orang 40 peratus jadi tentera. Filem Malbatt Insya-Allah filem yang terakhir saya sebagai anggota tentera sebagai pelakon.

“Ini betul sebab saya rasa Allah dah bagi saya macam-macam, melainkan saya seorang manusia yang tak reti bersyukur. Saya dah buat belakang tabir sebagai stuntman, extra, investor untuk filem-filem, director, producer semua benda saya dah lalui.

“Dan pejuangan saya biarlah saya akhiri dengan satu filem yang membanggakan saya. Saya dah pernah menyanyi untuk The Masked Singer dan ada satu single, Semerah Mawar Merah pun saya dah buat,” katanya.

Nekad untuk mengakhiri kerjaya seninya demi keluarga, Hairul bersyukur kerana isterinya, Hanis Zalikha turut menyokong keputusannya itu dan ingin fokus pada perniagaan mereka bersama.

“Saya masih lagi aktif di media sosial, cuma saya dah tak berlakon dah sebab ada orang yang tak sempat tengok ibu bapa dia. Sibuk dengan kerja. Ada orang, tak sempat tengok anak-anak dia membesar.

“Saya Alhamdulillah, mak saya masih ada. Jadi saya buat kajian untuk diri saya dan keluarga. Bila saya buat filem saya perlukan enam bulan.

“Saya buat badan seminggu enam kali pagi petang malam. Tahu-tahu anak saya dah besar. Tahu-tahu dia dah bersekolah dan saya tak sempat buat benda tu semua. So, dah dapat, dah cukup dan saya dah rasa puas dengan apa yang saya buat.

“Hanis bersetuju dengan keputusan saya sebab dia pun dah lama tak berlakon. Jadi kami akan fokus dengan perniagaan kami,” jelasnya.

Mengakui sudah lama membuat keputusan itu, Hairul bagaimana pun berharap agar peminat industri lakonan terus menyokong dan menghargai setiap karya baik semua pelakon yang menaikkan industri filem tanah air.

“Saya dah lama fikirkan pasal benda ni sebab tu saya buat yang terbaik untuk semua, filem aksi saya biarlah orang nampak.

“Biarlah dunia atau orang Malaysia hargai pengorbanan pelakon kita. Macam mana kami susah senang saya patah dan macam-macam untuk orang hargai filem-filem kita.

“Sama juga untuk filem tentera, saya harap orang Malaysia bangga dengan tentera Malaysia, itu je harapan saya kalau satu hari saya dah tak ada.

“Saya ada lagi satu filem arahan Syamsul Yusof, mungkin keluar tahun depan. Yang ini saya mengumumkan lepas ni saya dah tak berlakon for good,” katanya.

Sumber: Instagram ERA

Fatin Nurain