“Hanya Kerana Sedikit Kesilapan, Aku Pun..” – Nukilan ‘Tangisan Malaikat’ Timbulkan Tanda Tanya, Yasin Sulaiman Dikhianati Rakan?

Penyanyi dan komposert terkenal, Yasin Sulaiman berkongsi hasil nukilan terbarunya yang berjudul Tangisan Malaikat di Instagaram miliknya.

Hantaran tersebut memaparkan lirik lagu berkenaan yang seakan mendedahkan dia dikhianati seseorang yang dikenali hanya disebabkan melakukan kesilapan.

“Maafkan aku kerana menghilang
Sekelip mata tragedi datang
Hanya kerana sedikit kesilapan
Aku pun dikhianati kenalan,” antara bait-bait lirik tersebut.

Walaubagaimanapun, pelantun Mimpi Laila itu tidak menjelaskan secara terperinci mengenai gerangan individu yang dimaksudkannya.

Mengulas lanjut, Yasin berkata lagu tersebut dicipta khusus untuk anak perempuannya, Malaika.

“Lagu ini terhasil rentetan daripada tangisan Malaika sebaik sahaja mendengar suara ayahnya buat pertama kali di telefon selepas dia ditahan,” katanya dalam hantaran berkenaan.

Antara bait lirik lagu berkenaan seakan meluahkan perasaan Yasin yang terbuku selama ini yang menyatakan Yasin meminta maaf pada anaknya kerana menghilang.

Menerjah ke ruangan komen, ramai dalam kalangan peminat Yasin yang turut mengalirkan air mata apabila membaca bait-bait lirik yang sangat mendalam maksudnya.

Ramai juga dalam kalangan mereka yang mengirimkan doa kepada Yasin sekeluarga, terutamanya kepada anaknya, Malaika yang terlalu merindui kasih seorang bapa disisi.

Sebelum ini, Yasin turut menghasilkan lagu Bebaskan Aku juga disebalik tirai besi iaitu sebuah lagu yang menggambarkan perasaan hatinya ketika ditahan di penjara.

Terdahulu, Yasin didakwa di Mahkamah Majistret pada 31 Mac lalu atas pertuduhan menanam 17 pokok dan mengedar dadah jenis ganja di sebuah kondominium dua minggu lalu.

Aqilah Paharuzi