Haqiem Rusli Kini Lebih Happy

Pernah berdepan dengan masalah depresi tahun lalu, penyanyi Haqiem Rusli mengaku kini lebih tenang dan bahagia.

Penyanyi lagu Jatuh Bangun ini lebih bersemangat merancakkan karier seninya dengan menghasilkan lebih banyak lagu tahun ini.

“ Alhamdulillah, saya lebih tenang sekarang. Saya mahu ambil pendekatan dengan melihat, membaca dan dekat dengan hal positif sahaja.

“ Untuk permulaan tahun 2019, saya turut menghasilkan beberapa buah lagu untuk Usop (Aku yang bersalah), Zaid Zakwan (Kenangan) dan akan datang untuk Tajul berjudul Ibu,” katanya kepada XTRA.

Sekitar Julai tahun lalu, Haqiem dilaporkan mengalami mild depression sejak tahun 2017. Namun ada pihak mendakwa penyanyi itu membuat kenyataan berkenaan hanya mahu mencipta gimik murahan.

Dalam perkembangan lain, penyanyi berusia 21 tahun ini menyimpan hasrat berkolaborasi dengan penyanyi senior.

“ Pilihan pertama saya sudah tentu Abang Zamani. Dari dulu lagi saya teringin untuk menghasilkan lagi untuknya.

“ Malah kalau diberi peluang saya mahu berduet dengan beliau. Pihak pengurusan saya pernah ‘melamar’ beliau dalam projek seterusnya. Kalau projek ini menjadi saya pasti akan war-warkan,” akhirinya.

SGMS Faida