Haqiem Stopa Didakwa Simpan Gambar & Video Lucah Bekas Kekasih

Pencipta kandungaan, Haqiem Stopa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang hari ini atas tuduhan menyimpan gambar dan video lucah bekas kekasihnya.

Memetik laporan Berita Harian, Haqiem Stopa atau nama sebenarnya Muhammad Sadzri Hakim Jaafar, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan kesalahan itu terhadap seorang wanita berusia 21 tahun dalam simpanan galeri dua telefon bimbit miliknya, 9 Disember lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Rawang kira-kira jam 4.30 petang pada hari yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 292 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi mencadangkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Mohd Faiz Fahmy Abdul Razak mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya perlu menanggung ibu bapa yang uzur.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 23 Februari tahun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, media melaporkan lelaki itu ditahan polis pada Jumaat lalu, kerana disyaki mengugut untuk menyebarkan gambar lucah bekas kekasihnya.

Sumber: Berita Harian

Khairil Khusyairi