Hariz Danial Tak Sabar Bekerjasama Dengan Komposer Terkenal – “Peluang Terbaik Untuk Penyanyi BBNU”

Bakat baharu dalam dunia nyanyian, Hariz Danial, 26, meluahkan rasa syukur atas rezekinya yang kini diterima untuk menjadi artis bawah naungan Armani Entertainment Group (AEG).

Anak kelahiran Johor Bahru itu menyifatkan pemilihannya untuk berada di bawah pengurusan AEG adalah sangat tepat kerana pihak AEG sangat profesional dalam menguruskan artis baharu.

“Sejujurnya, selepas menyertai program TV3, I Can See Your Voice, saya memang mencari management. Kebetulan keluar dekat Instagram mengenai pencarian bakat AEG.

“Saya cuba hantar video nyanyian cover dan dipanggil untuk uji bakat sehinggalah hari ini, saya secara rasminya menjadi talent mereka.

“Mereka dah banyak susun jadual untuk saya bakal lakukan. Paling latest insya-Allah dalam bulan Jun atau Julai akan ada upcoming single saya,” katanya.

Jejaka itu turut meluahkan rasa teruja dan seakan tidak sabar untuk bekerjasama dengan komposer-komposer terkenal yang pernah menyertai Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati berada di bawah naugan AEG, walaupun company baru tapi akan datang saya dan rakan-rakan AEG yang lain diberi peluang untuk mencipta single hasil daripada komposer yang pernah masuk AJL.

“Pada saya, itu adalah sesuatu perkara yang susah sebagai artis baru macam saya ini untuk dapat bekerja dengan komposer terkenal AJL seperti Omar K dan Sharon Paul,” katanya ketika ditemui media semasa majlis media night dan majlis berbuka puasa AEG baru-baru ini.

AEG adalah sebuah label pengurusan artis dan muzik yang bertanggungjawab menjadi wakil dan penasihat profesional bagi pemuzik dan pelakon.

Selain itu, AEG juga bertindak sebagai Platform Selebriti Profesional yang memberi jaminan, pulangan modal konsisten dengan menyediakan platform ke dunia hiburan bagi individu berbakat dan berperwatakan menarik.

“Artis-artis di bawah naungan kami terdiri daripada penyanyi serta pelakon baharu yang berbakat besar.

“Kami juga berbangga menajdi wakil beberapa artis bertaraf A-list tanah air seperti rapper terkenal MK (K-Clique), pengarah tersohor, Michael Ang, pelakon TV popular, Farah Nabilah, dan hos TV, Elly Ariffin,” jelas Zeileen Yusnita Abd Jalil, yang merupakan Ketua Pegawai Operasi AEG.

Aqilah Paharuzi