Havoc! Pertama Kali, Joe Flizzow Adakan Konsert Solo Buat Peminat Rap – “This is Johan Live in Concert”

Selepas meraih kemenangan dalam anugerah berprestij seperti Anugerah Juara Lagu, penyanyi rap popular Malaysia, Joe Flizzow mengumumkan bakal mengadakan konsert solo pertama pada 15 Julai 2023.

Konsert yang diberi nama “This is Johan Live in Concert” adalah signifikasi kepada album baharu yang bakal dikeluarkan pada Julai ini juga.

Sehubungan itu, Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, 44, menjanjikan kepada para peminatnya sebuah pengalaman yang baru berbanding konsert-konsert rap yang lain.

“Saya janjikan satu konsert yang bagi saya walaupun venue dia besar tapi saya tetap inginkan sesuatu yang agak intimate di mana bukan macam berdiri nyanyi. Saya mahu berinteraksi dengan peminat dan bercerita kepada mereka.

“Album saya akan keluar pada Julai nanti yang berjudul JOHAN. Jadi, lagu yang baru keluar ni datang dari album JOHAN,” ujarnya.

Ditanya mengapa baru kini mengadakan konsert solo selepas lebih 15 tahun dalam industri, Joe menyatakan dua sebab.

“Saya baru tersedar kenapa saya tak aturkan sendiri konsert. Jadi, saya dan team akan jadi lebih proaktif.

“Saya rasa sebabnya adalah kita mungkin terlalu selesa untuk menunggu pelawaan orang dan lima tahun lepas saya berkongsi pentas dalam konsert 16 Baris dengan ramai penyanyi kerana MCO.

“Apabila dah stabil, gua nak konsert gua sendiri,” jelasnya.

Repertoire lagu-lagu yang bakal dipersembahkan juga tidak akan menghampakan peminat seperti Sampai Jadi, CIAO, Satu Malam Di Temasek, Sang Saka Biru dan banyak lagi.

Untuk info, konsert solo ini dibawakan oleh JioBuddy dengan kerjasama Altus ProHouse bersama rakan produksi, Level Up, rakan logistik, Tuudi.

Tidak ketinggalan Universal Music Malaysia, DefJam Recordings SEA menjadi rakan sokongan Joe Flizzow “This is Johan Live in Concert”.

Jangan lupa dapatkan tiket Joe Flizzow “This is Johan Live in Concert” yang diadakan pada 15 Julai 2023 di JioSpace Petaling Jaya 8.30 malam.

Tiket mula dijual pada 12 Mei 2023 dan boleh dibeli menerusi www.jiotix.asia

Atiqah Johari