“Ia Memerlukan Kudrat Dan Segala-Galanya”- Mengaku Dibayar Mahal, Adi Putra Lebih Selesa ‘Kunci Mulut’

Pelakon popular, Datuk Adi Putra yang muncul dalam filem popular Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mengakui menerima bayaran yang tinggi untuk filem arahan Syamsul Yusof itu.

Namun, pelakon yang popular menerusi drama Cinta Si Wedding Planner ini bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar bayaran yang diterimanya.

Meskipun lebih selesa mengunci mulut, Adi menganggap apa yang diterimanya itu adalah hasil usaha dan kerja kerasnya selama ini.

“Memang benar (bayaran mahal). Sebab ia memerlukan kudrat dan segala-galanya. Tetapi bajet ini bukan satu ukuran kalau nak hasil yang lebih baik, tentulah sudah semestinya memerlukan peruntukan yang lebih.

“Ia bagi mendapatkan satu kualiti yang lebih mantap dan padu. Tentang berapa jumlahnya? Tak apalah, biar Allah saja yang tahu,” katanya.

 

Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu panas ketika ini melibatkan kutipan cukai hiburan yang dilihat terlalu banyak sehingga membebankan pengamal industri, beliau berkata, penerbit filem layak bersuara.

Malah, masyarakat juga perlu memandang perkara ini dari sudut positif kerana ia menyentuh bab perniagaan.

“Tinggi atau rendah kutipan cukai itu, ia dari sudut perniagaan dan saya tak boleh sentuh.Berbalik kepada empunya. Tapi kalau nak cakap pasal hal ini, rasanya lebih baik kita naratif dari sudut positif.

“Kritikan akan jadi isu dan itu adalah lumrah sebab kalau tak ada yang menyuarakan, mungkin tidak ada yang sedia maklum.

“Tapi itulah yang kita ingin­kan. Keprihatinan agar ada berlaku perubahan pada masa hadapan. Saya faham bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang,” jelasnya.

Untuk rekod, kutipan filem Mat Kilau kini telahpun mencecah RM53 juta dalam tempoh 13 hari tayangan.

 

 

Sumber: Utusan, Rotikaya

Salma Syahbuddin