Ikhwan Mengaku Rindu Nak Masuk Konti

“ Tipulah kalau saya kata tak rindu nak ke udara. Kalau ada rezeki, sudah tentu saya mahu kembali,” kata bekas penyampai radio Kool FM, Ikhwan kepada xtra.com.

Hampir setahun meninggalkan konti radio, Ikhwan atau nama sebenarnya Mohd Khairul Ikhwan Rosli mengaku rindu untuk bergelar penyampai radio semula.

Namun begitu, dia menerima dengan hati terbuka bahawa rezekinya mungkin menyebelahi dalam bidang lakonan.

“ 12 tahun bergelar penyampai radio, mana mungkin saya boleh lupakan kehidupan dalam konti.

“ Jujurnya, saya ada menghantar resume ke beberapa stesen radio lain tetapi rezeki belum ada untuk berkhidmat di mana-mana stesen. Tetapi saya percaya jika rezeki tak ada di radio, mungkin dalam bidang lain… Insha Allah ada,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ikhwan kini aktif dalam bidang lakonan di mana dia sedang bersiap sedia untuk masuk ke set penggambaran sebuah drama.

“ Saya mendapat tawaran berlakon drama di bawah produksi Suhan Movies untuk 60 episod. Selain daripada itu, saya juga ditawarkan watak untuk sebuah filem aksi namun tajuknya masih belum dapat diwar-warkan.

“ Insha Allah jika diizinkanNya, saya akan masuk set tak lama lagi. Doakan agar segalanya dipermudahkan,” katanya.

Dalam masa sama, Ikhwan juga bakal tampil dengan sebuah single terbaru bersama sebuah kumpulan di mana genre lagu Hip Hop menjadi pilihan. Good Luck Ikhwan, kami doakan agar terus sukses dalam karier seni! 

SGMS Faida