Ilyka Nafi Tolak Kerjasama Dengan Komposer Tempatan

Penyanyi 90 an Datin Seri Ilyka Yassin mengaku mempunyai alasan tersendiri memilih komposer dari Indonesia untuk single terbaharunya.

Mula mencipta nama dengan album Diusung Duka, Ilyka turut menafikan enggan bekerjasama dengan komposer tempatan.

“ Saya mahu mencuba sesuatu yang baharu dalam karier. Menggunakan khidmat komposer dari seberang untuk lagu Persembahan Cinta dan Sempurnakan Takdirku bukan bermakna saya kata komposer tempatan tidak bagus.

“ Saya pernah bekerjasama dengan ramai komposer tempatan selama ini dan amat berpuas hati dengan karya mereka. Apa salahnya saya mencuba kelainan dan idea untuk bekerjasama dengan komposer luar datang dari Aszuad selaku wakil pihak pengurusan Cloudoworks Record,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran ‘Sempurnakan Takdirku’ yang berlangsung di Serai Empire Subang, baru-baru ini.

Sementara itu, Ilyaka yang tampil dengan lagu My Love ciptaan komposer Hazami pada tahun lalu mengaku tidak pernah berkecil hati apabila ada segelintir pendengar yang tidak menyedari kehadirannya dalam industri seni.

“ Kalau nak ikutkan, saya memang keluarkan single setiap tahun sejak 2016 dalam usaha membuat kemunculan semula. Cuma ramai ingatkan saya ini penyanyi baharu.

“ Saya pernah hadir menyaksikan rakan-rakan yang masih membuat persembahan di hotel, bila mereka jemput saya untuk menyanyi sekali, ada yang tanya ‘Ilyka ni penyanyi baru ke?’.

“ Saya okay dan akan teruskan minat saya dalam bidang nyanyian. Seandainya lagu ini tidak mendapat sambutan, saya akan terus mencari material yang bersesuaian,” akhiri Ilyka.

Ilyka yang merupakan isteri kepada Datuk Ahmad Azizi Ali memulakan karier nyanyian pada tahun 1994 dengan album solo berjudul Di Usung Duka. Dia memperlahankan aktiviti seni bagi memberi fokus kepada keluarga termasuklah anak perempuannya, Arisya yang kini berusia 16 tahun.

Wartawan: SGMS Fas

SGMS Faida