Diva AA Teringin Jadi Senator

Berangan itu percuma kan? Jadi tak salah rasanya untuk memasang angan-angan…Baru-baru ini, selebriti Azwan Ali memberitahu bahawa dia memasang impian untuk bergelar senator satu hari nanti!

Lebih dikenali sebagai Diva AA, calon Bebas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa ini juga menjadikan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin sebagai idolanya.

“Saya teringin nak jadi seperti arwah Tan Sri Datuk Jins Shamsuddin, menjadi senator. Kalau tengok dia satu-satunya artis yang terpilih menjadi senator, saya tidak tahu proses dia macam mana tapi saya ada impian untuk sampai ke tahap itu,” katanya kepada sebuah portal politik tempatan.

Jins Shamsuddin dilantik sebagai ahli Dewan Negara pada 13 Oktober 2004 dan menjadi senator selama dua penggal sehingga 11 Februari 2011.

Mengenai peluangnya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pemilik Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Malaya itu berkata beliau tidaklah terlalu memikirkan soal kemenangannya tetapi yakin segala-galanya akan ditentukan Allah nanti.

“Ini semua kerja Allah.. apatah lagi orang kecoh kalau saya hilang wang pertaruhan, why not? (kenapa tidak?). Saya tidak menggunakan duit ibu ayah saya, it is my own money, (itu duit saya sendiri) ” kata adik kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu.

Azwan akan bertanding menentang abangnya, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR dan tiga calon lain dalam pertandingan lima penjuru kerusi DUN Bukit Antarabangsa.

 

SGMS Faida