‘Inilah JalanNya’ Pembuka Lembaran Seni Kugiran Masdo Tahun Ini

Kumpulan Kugiran Masdo kembali dengan melancarkan lagu terbaharu mereka yang berjudul ‘Inilah JalanNya’ sebagai pembuka lembaran seni mereka di tahun 2023 ini.

Lagu yang sarat dengan estetika muzik retro ini merupakan ciptaan sepenuhnya oleh penyanyi dan komposer tersohor Noh Salleh.

Selain itu, lagu ini juga menceritakan tentang detik-detik manis percintaan yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata tetapi diluahkan hanya dengan berbalas pandangan dan senyuman terhadap seseorang yang diminati.

Menurut Ali Sariah selaku vokalis, dia berasa sangat berbesar hati dapat mendendangkan lagu ciptaan Noh Salleh yang berbakat besar dalam mencipta setiap karyanya.

“Kami berasa sangat bertuah kerana berjaya mendapatkan lagu ciptaan Noh Salleh ini. Beliau memang pakar dalam mencipta melodi dan senikata yang menangkap telinga.

“Sejak kami perdengarkan lagu ini kepada peminat dalam konsert di Zepp KL tempohari, peminat telah memberikan sambutan yang hangat dan tidak sabar menantikan lagu ini dilancarkan secara rasmi,” katanya.

Malah, Ali turut menyifatkan kerjasama yang terjalin antara kumpulan ini dengan Warner Music Malaysia dan Warner Music Indonesia mampu menaikkan lagi portfolio muzik mereka.

“Ini merupakan single pertama dari tiga buah lagu yang bakal diterbitkan dalam kerjasama ini. Kami percaya kerjasama dengan Warner Music Malaysia dan Warner Music Indonesia ini mampu membawa kami ke aras yang lebih tinggi dan membuka peluang lebih besar untuk kami di masa akan datang,” jelasnya.

Single Inilah JalanNya ini sudah boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music sejak 13 Januari 2023.

Manakala, video muzik rasmi lagu ini boleh ditonton di saluran YouTube MASDO bermula 13 Januari 2023 jam 9 malam.

Fatin Nurain