Isteri Achey Jalani Proses Masuk Embrio Matang – “Berjaya Atau Tidak, Doakan Kami Terus Kuat”

Pelawak, Achey berkongsi perkembangan terkini rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) yang sedang dijalani isterinya, Nor Hasanah Yahaya.

Menerusi muat naik rakaman video di Instagram, Achey memberitahu dia dan isteri kini dalam proses menjalani rawatan dengan memasukkan embrio matang ke tubuh isterinya.

“Bismillah, bermula dari Ogos dan kini, proses penting telah tiba, memasukkan embrio matang ke tubuh ibunya.

“Telah masuk fasa yang sangat penting. Mudah-mudahan berjaya,” tulisnya.

Tambah Achey, dia berharap proses tersebut berjalan dengan lancar dan memohon semua mendoakan buat dia dan isteri.

“Doakan proses ini berjalan dengan baik. Tak mudah proses ini, positif kita jalani, positif lah kita dapat.

“Usaha sebaik yang boleh, Allah juga yang menentukan, berjaya atau tidak. Doakan kami terus kuat.

“Allahu Akhbar, Bismillah, tiada daya dan usaha hambamu ini tanpa keizinan mu Ya Allah. Doakan Anne kuat dan hari ini bermula fasa penting,” harap Achey.

Terdahulu, Nor Hasanah telah menjalani prosedur membuang tiub fallopian yang tersekat bagi membolehkan dia hamil.

Achey mendirikan rumah tangga dengan Nor Hasanah Yahaya pada 2011. Pasangan itu mengambil seorang anak angkat, Tiara Zinnirah pada Mei 2018 yang kini berusia empat tahun.

Khairil Khusyairi