Janna Nick Makin ‘Membawang’ Lepas Jadi Hos Melodi

Pelakon Janna Nick mengakui sejak bergelar hos program Melodi, dia sudah semakin mengambil tahu mengenai perkembangan dunia seni tanah air bagi memudahkan tugasannya itu.

Menurutnya, jika sebelum ini dia jarang-jarang sekali memberikan perhatian terhadap gosip-gosip tersebut namun demi tuntutan kerja, Janna semakin selesa dengan tugasannya kini.

“Sejak mengacarakan Melodi, pengetahuan saya dalam bidang hiburan tempatan semakin meluas. Tanpa program itu juga, saya tidak akan pernah tahu macam-mana nak buat kerja pengacaraan.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada wartawan-wartawan hiburan kerana setiap hari saya kini dah rajin membaca artikel-artikel yang ditulis mereka untuk mendapatkan input dalam rancangan yang dihoskan,” katanya.

Janna ditemui pada majlis anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL 2018) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini. Menerusi DFKL 2018, Janna berjaya memenangi trofi dalam kategori Aktres Pilihan melalui drama Biarkan Aku Jadi Penunggu.

Jika di awal kemunculannya, Janna dilihat lebih lantang membalas komen-komen negatif yang ditinggalkan haters di laman sosialnya, namun selepas ini Janna mengambil pendekatan enggan berbuat demikian lagi.

“Saya mudah, jika tidak suka tentang apa perkara negatif dan fitnah dilemparkan saya akan padam dan sekat akaun tersebut kerana lebih baik tidak mengambil tahu atau membalas komen tersebut.

“Pada saya jika ada sesuatu isu, saya lebih senang menjawab kepada wartawan dan bukannya berbalas komen di Instagram,” katanya lagi.

Perkembangan terbaharu, Janna akan kembali sibuk menjalani penggambaran drama slot Samarinda berjudul Hingga Ke Jannah.

Menerusi nashkah itu, Janna akan bergandingan dengan Fahrin Ahmad dan pengambaran dijangka selesai menjelang hari raya Aidilfitri.

SGMS Enal