‘Jauh’ Buah Tangan Adrianna Cinta, Syukur Single Terbaharu Jadi Runut Bunyi Drama

Penyanyi dan penulis lagu Adrianna Cinta muncul dengan single terbaharunya yang berjudul ‘Jauh’ yang juga merupakan runut bunyi untuk sebuah drama.

Sebelum ini, Adrianna telah mencetuskan fenomena di saluran TikTok dan melancarkan single ‘Cinta Berlalu’ pada tahun lalu.

“Saya sangat teruja apabila mendapat tawaran ini dengan waktu yang tepat. Kepercayaan daripada Syarikat Rakaman Sony Music Entertaiment Malaysia dan komposer terkenal, Farouk Roman, memberi peluang untuk saya memperluaskan bakat saya dalam bidang ini, terutamanya dalam menghasilkan runut bunyi rasmi drama Malang Si Puteri,” katanya.

Dalam pada itu, Farouk sebagai komposer menyifatkan Adrianna mempunyai tone suara yang unik.

“Saya suka menerokai bakat baru dalam penulisan lirik dan saya nampak perkara ini ada pada Adrianna Cinta. Saya juga percaya dia berpotensi besar dalam industri muzik.

“Selain itu saya suka akan tone suaranya yang unik.Hal ini memudahkan proses dalam penghasilkan lagu dengan menepati masa dan citarasa pendengar sekarang,” katanya.

Adrianna bagaimanapun berharap para pendengar boleh menjiwai lagu ini kerana ia mengisahkan tentang keperitan dalam hubungan percintaan yang ditimpa perlbagai dugaan.

“Adrianna harap peminat boleh terima lagu ini dan menjiwai kerana lagu ini mempunyai maksud yang sangat mendalam dan memberi gambaran bahawa berapa peritnya cinta yang dilalui apabila diselami pelbagai dugaan. Meskipun perit untuk berpisah, hakikatnya hal ini dilalui oleh setiap manusia” jelas.

Lagu ‘Jauh’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

Fatin Nurain