K-Clique Terkesan ‘Hilang’ Tuju, Noki Mengaku Terasa Hati – “Kami Hanya Mampu Sabar & Tunggu…”

Kumpulan hip hop popular K-Clique didakwa mengalami perselisihan faham apabila salah seorang ahlinya, Tuju tidak kelihatan semasa Konsert Havoc Midnight pada September lalu.

Memetik laporan Harian Metro, ketiadaan Tuju pada majlis perkahwinan salah seorang ahli kumpulan terbabit, FareedPF yang berlangsung pada Oktober lalu turut menguatkan lagi dakwaan tersebut.

Tidak mahu mengeruhkan keadaan, Noki berharap pertanyaan tersebut boleh diajukan sendiri kepada Tuju bagi mengelakkan salah faham.

“Saya tidak mampu berkata apa-apa kerana semuanya berpandukan daripada Tuju.

“Kalau nak tahu cerita sebenar lebih baik tanya Tuju sendiri. Bagi pihak K-Clique, tiada apa yang perlu saya jelaskan,” katanya.

Menurut Noki, Tuju kini sedang berada di Sabah dan dikhabarkan bakal kembali semula ke Kuala Lumpur tidak lama lagi.

“Kami sudah tidak berhubung sejak tiga hingga empat bulan lalu. Sepanjang tempoh ini, kami tidak berkomunikasi langsung dengannya.

“Ini adalah fasa biasa untuk kumpulan seperti K-Clique. Ini kerana kami sudah kenal sejak kecil lagi.

“Jadi, bila berlaku perkara seperti, rasanya tidak perlu untuk difikirkan sangat. Mungkin Tuju ada masalah keluarga dan banyak tanggungan.

“Kami beri ruang untuk Tuju menyelesaikan masalahnya. Saya percaya kalau Tuju sudah bersedia, dia akan cari kami semula,” ujarnya.

Disoal sama ada dia terasa hati dengan Tuju, Noki tidak menafikan kerana ia memberi kesan kepada K-Clique.

“Jujurnya, memang terasa apabila ramai bertanya mengapa Tuju tidak lagi bersama K-Clique.

“Kenapa Tuju tidak membuat persembahan bersama. Penganjur juga pelik kenapa kami tinggal bertujuh.

“Ia juga memberi kesan kepada K-Clique. Tetapi, tidak mengapa, benda dah nak jadi. Kami hanya mampu bersabar dan tunggu apa yang akan berlaku seterusnya,” katanya.

Selain Noki dan Tuju, K-Clique turut dianggotai oleh MK, Fareed, Somean, KDeaf, Gnello dan NastyNas.

Lagu nyanyian Noki dan MK berjudul Payung Pelangi berjaya melangkah ke Anugerah Juara Lagu 37 (AJL 37) yang bakal berlangsung pada 12 Februari depan.

Maya Basir