“Kalau Anak Sakit Boleh Buat Apa Je? Meratap Hiba?” – Abby Abadi

Kasihan pelakon, Abby Abadi apabila perkongsian ‘gembira’nya di instagram menimbulkan rasa tak puas hati di kalangan netizen hanya kerana bayi pra-matangnya, Muhammad Danial Firman, masih di NICU (Unit Rawatan Rapi Neo Natal) di bawah pantauan doktor dan jururawat di Hospital Sungai Buloh. 

Pemilik nama Arbaiyah Abdul Manan ini melahirkan anak sulung hasil perkahwinannya dengan Faizal Zakaria pada 27 September lalu, 3 bulan lebih awal dari tarikh jangkaan bersalin, dan pada berat 535 gram sahaja. 

Baca: Abby Abadi Selamat Lahirkan Bayi Lelaki Pramatang

Baca: Abby Minta Doakan Baby D

Abby (42) kesal dengan tanggapan segelintir netizen yang dia seolah-olah lupa bayinya masih di dalam NICU dan dalam keadaan kritikal kerana hidup harus diteruskan.  

Segelintir netizen meluahkan rasa tidak puas hati apabila Abby memuat naik posting yang dianggap tidak sesuai seperti berkaraoke di dalam kereta (walaupun telah menjelaskan yang video tersebut adalah video lama),  foto sewaktu kurus dan posting untuk IG review. 

“Ada orang marah kat gambar-gambar sebelum ni..takleh buat itu, takleh buat ini.  Anak sakit pun seronok-seronok, anak kritikal pun sibuk nak kurus..sampai video saya yang admin guna untuk insta review pun kena hentam juga..”

“Abis kalau anak sakit boleh buat apa je? Meratap hiba?  Sejujurnya bukan saya dan suami je, kami seisi keluarga dah usahakan yang terbaik dah untuk bahagian kami. Yang lain kami serahkan pada pihak yang lebih arif dengan bantuan Allah Swt,” tulis Abby.

Betul juga cakap Abby. Mereka telah cuba sedaya upaya setakat yang mereka mampu termasuklah berulang alik saban hari untuk meninjau keadaan Danial, berjumpa doktor pakar dan menghantar susu badan. Selebihnya hanya Allah swt yang boleh menentukan takdir bayi kesayangan mereka ini. 

“Jadi yang suka jadi juri awam tu tenang-tenang selalu ye. Tak dapatlah semua yang kami buat nak bersiaran di sini. Hidup ini banyak tanggungjawab yang lain juga. Anak-anak pun ramai.  Jadi doakan yang baik-baik untuk orang lain, inshaAllah doa yang baik itu akan kembali pada anda juga.

“Yang baik budi terus doakan kami dan Baby Danial ok.  Maaf sangat-sangat tak dapat nak puaskan hati semua pihak.” tulis Abby lagi. 

Walaupun Abby dan suami sering berkongsi tentang perkembangan dan keadaan bayi mereka, bukanlah dengan memuat naik cerita-cerita selain dari perkembangan Danial bermakna mereka ‘lupa’ tentang keadaan anak sulung yang sudah bertahun mereka nantikan. 

Pasangan yang berkahwin pada 14 Ogos 2015 ini mempunyai dua anak angkat, Muhammad Dayyan Fayyad dan Maisara Dayana Fathia. 

 

Del14