“Kalau Betul Duit Haram, Mesti Saya Dah Duduk Lokap!” – Black Hanifah Perjelas Status Miliki Kapal Mewah & Villa Di Langkawi

Penyanyi Black Hanifah tampil menjelaskan dakwaan kononnya Villa yang terletak di Langkawi dan kapal mewah miliknya adalah hasil daripada penggubahan duit haram.

Kata Black, sekiranya benar seperti yang didakwa segelintir pihak kononnya dia terlibat dalam aktiviti ‘cuci duit’ pastinya dia kini sudah berada di dalam lokap.

“Kalau benar saya cuci duit, SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia) dan polis mesti akan siasat dan saya tidak duduk di sini, saya duduk dalam lokap.

“Saya masih selamat kerana saya buat benda yang betul. Semua aset yang saya miliki hasil simpanan dan perniagaan atas talian yang berjaya selain daripada doa orang sekeliling,” katanya.

Malah, pelantun lagu Hanyut ini mendedahkan, perniagaan yang dimilikinya sekarang adalah berdaftar.

“Saya memiliki perniagaan yang berdaftar, saya bayar cukai setiap tahun. Sebagai rakyat Malaysia, saya patuh dengan undang-undang negara,” jelasnya.

Dalam pada itu, Black bersyukur kerana wang simpanan yang dimiliki hasil kerja kerasnya selama bergelar anak seni sebelum ini mencukupi dan membuahkan hasil.

Bahkan, aset yang dimilikinya kini adalah hasil usaha dan perancangan yang dilakukan selama hampir tiga tahun.

“Sepanjang tempoh 3 tahun itu banyak ilmu baru yang saya belajar dan dalam masa sama saya belajar menyimpan.

“Semua aset seperti kapal dan villa itu adalah hasil dari perancangan yang saya atur dengan baik,” ujarnya.

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin