‘Kalau Boleh Nak Yang ‘Evergreen’- Kaka Pening Pilih Nama Anak

Selepas mengumumkan berita kehamilan baru-baru ini, penyanyi Kaka Azraff mengaku mula pening mahu memikirkan nama bakal anak.

Kata Kaka ketika ditemui di majlis kempen Raya Avenue K semalam, meskipun tidak mengetahui jantina anak, Kaka mahu bersiap sedia lebih awal dalam bab pemilihan nama.

“ Saya sudah membuat imbasan jantina kandungan cuma buat masa ini hanya ibu mertua sahaja yang tahu jantina bakal anak.

“ Bukan apa, saya dan suami mahu kejutan. Doktor merahsiakan dari kami berdua buat masa ini. Cuma kami tengah pening fikir nama bakal anak,” katanya kepada XTRA.

Tambah penyanyi berusia 29 tahun ini, dia berhasrat memilih nama yang lebih ‘evergreen’.

“ Nama kita akan bawa sampai bila-bila. Saya suka nama yang bunyinya sedikit ‘evergreen’ dan yang bermakna baik. Kalau nama moden, saya tak berapa minat,” ujar Kaka yang tidak kisah mengenai jantina anak.

Tambah Kaka yang kini hamil 4 bulan,  sama ada bayi lelaki atau perempuan, dia dan suami tidak kisah asalkan anak yang bakal dilahirkan kelak sihat dan sempurna

Pada majlis kempen Raya Avenue K itu, Kaka sempat menghiburkan kira-kira 25 anak yatim dari Pertubuhan Darul Fakir Malaysia.

Kaka dan Adam Azriff, 25, mendirikan rumah tangga pada 14 Disember lalu.

SGMS Fas