“Kalau Perempuan Saya Boleh Cari Banyak-Banyak Tapi…” – Wak Doyok Mahu Bakal Isteri Anak Dara & Sanggup Tinggal Dengan Ibu Mentua

Selepas menafikan dakwaan kononnya dia mempunyai hubungan cinta dengan penerbit Datuk A. Aida, ikon fesyen Wak Doyok memaklumkan dia kini dalam proses mengenali hati budi seseorang.

Kata Wak atau nama sebenarnya,  Mohd Azwan Md Nor, 43,  semestinya dia menginginkan hubungan yang berkekalan sehingga ke akhir hayat, malah dia tidak mahu terlalu tergesa-gesa kerana proses mengenali hati budi seseorang untuk dijadikan isteri mengambil masa yang agak lama.

“Kita nak kenal seseorang itu bukan hanya satu hari, lagi-lagi kahwin ni bukan malam tu atau esok sahaja, seronok biar sampai akhir hayat. Sampai dia boleh jaga kita dan bukan berkahwin sebab harta.

“Saya masih mengenali hati budi seseorang walaupun saya dan dia agak sibuk dengan kerja masing-masing dan dia orang biasa sahaja,” katanya.

Memetik laporan mStar, Wak turut mendedahkan kriteria wanita pilihannya itu termasuklah dia mestilah seorang yang lebih muda daripadanya.

“Saya nak yang anak dara lah, 25 tahun keatas. Kalau muda sangat pun susah, kehidupan masih tak cukup pengalaman, bila dah 28 ke atas tu dia dah cukup matang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Wak juga mendedahkan, punca kenapa hubungan bersama teman wanitanya sebelum ini terputus adalah disebabkan wanita berkenaan tidak mahu tinggal bersama ibunya yang berusia.

“Tanggungjawab lelaki adalah mak, kalau perempuan saya boleh cari banyak-banyak tak ada masalah, tapi syurga tu dekat mak saya, bukan dekat isteri saya.

“Isteri syurga terletak dekat saya, dia kena ikut cakap saya. Jadi saya nak seimbang. Kena terima mak saya dulu macam mana. Lagipun saya anak terakhir yang memegang tanggungjawab menjaga ibu,” ujarnya.

Terdahulu, timbul desas-desus mengatakan Wak menjalinkan hubungan dengan Datuk A.Aida selepas tular video menyambut ulang tahun kelahirannya bersama penerbit berkenaan.

 

Sumber: mStar

Salma Syahbuddin