“Kalau Tak Ada Tiga Benda Ni, Rumah Tangga Tak Akan Kekal…” – Tajul Ariff Kongsi Tips Kahwin Muda

Penyanyi, Tajul Ariff memberi pesanan kepada golongan muda yang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga di usia muda iaitu perlu berpegang kepada tiga perkara.

Menurut Tajul, sekiranya mereka tidak mempunyai kekuatan mental, kesabaran yang tinggi dan kewangan stabil, nescaya perkahwinan tersebut tidak akan berkekalan.

“Kalau golongan anak-anak muda macam saya nak kahwin awal, mereka kena fikir tiga benda ini iaitu kuatkan mental, sabar dan kukuhkan kewangan. Kalau tak ada tiga ni confirm tak akan bertahan,” katanya.

Sementara itu, bapa anak dua ini mengakui tidak pernah menyesal berkahwin awal walaupun melalui pelbagai ujian.

“Tak pernah rasa menyesal, cuma lebih suka ambil pengalaman lebih awal. Kita sebagai ketua keluarga, suami dan bapa banyak fikirkan pelbagai benda. Anak, isteri, kerja, kedua-dua belah keluarga jadi menjadi lelaki ini banyak tanggungjawab,” ujarnya.

Berkahwin seawal usia 19 tahun, Tajul tidak menafikan di awal perkahwinannya bersama isteri, Nurul Shahmieza Eddie, mereka melalui banyak cabaran dan dugaan dari segi kewangan.

Tajul meluahkan rasa syukur atas kesabaran isteri tercintanya yang masih setia disamping meskipun perkahwinan mereka diuji dengan pelbagai rintangan.

Tajul berkata demikian ketika ditemui di majlis berbuka puasa dan pelancaran laju raya bersama syarikat pengurusan FMC bertempat di Hotel Tenera, Bangi pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, pihak syarikat FMC baru sahaja melancarkan lagu raya terbaru Tajul bersama rakan industri iaitu Tuah Adzmi, Afieq Shazwan, Wany Hasrita, Wani Syaz dan Muna Shahirah yang berjudul Terpaling Di Hari Raya.

Sebelum ini, pelantun lagu Di Sana Cinta Di Sini Rindu itu menjawab kontroversi berhubung isterinya yang membuat perubahan wajah di klinik estetik.

Sekadar info, Tajul dan isterinya berkahwin pada 10 Disember 2017 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata bernama Adriana Carissa dan Adrian Rifqy.

ARTIKEL BERKAITAN: Heboh Isteri Buat Perubahan Wajah, Ini Respons Tajul Ariff – “Saya Sendiri Izinkan, Asalkan Dia Tidak…”

Aqilah Paharuzi