Categories: HiburanTrending

“Kalau Tak Berbual Dengan Otai, Macam Mana Nak Mulakan?” – Kongsi Pengalaman, Awie Sedia Turunkan Ilmu Kepada Orang Muda

Penyanyi rock legenda, Datuk Awie sedia untuk berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja, lebih-lebih lagi golongan muda yang ingin berkecimpung dalam dunia nyanyian atau penganjuran konsert.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman menyeru dan menasihati anak-anak muda agar berguru dengan individu yang kaya dengan pengalaman.

Baginya, penyanyi atau penggiat dalam industri seni yang dianggap veteran sudah pastinya memiliki ilmu yang tinggi serta sudah mengetahui asam garam dalam bidang berkenaan.

Bahkan, dia turut meluahkan rasa kagum terhadap ramai generasi hari ini yang menyambung pelajaran dalam bidang seni dan menyifatkannya sebagai satu langkah serta usaha yang tepat.

Awie bagaimanapun tidak menafikan bahawa pembelajaran di luar kuliah melalui interaksi dengan individu yang pakar juga sangat penting bagi memantapkan pemahaman mereka.

“Datanglah belajar. Saya terbuka dan mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk belajar dengan saya.

“Budak-budak sekarang belajar muzik, belajar rekaan grafik, creative visual. Mereka sudah di landasan yang betul.

“Kalau tidak berbual dan menimba ilmu dengan otai-otai macam mana mereka nak mulakan?” katanya kepada XTRA.

Dalam pada itu, vokalis kumpulan Wings yang popular dengan lagu Sejati itu menjadikan anak-anaknya sebagai contoh terdekat.

Dedah Awie, dua orang anaknya yang menyambung pelajaran di universiti mengambil jurusan seni yang berkait dengan pementasan dan persembahan.

Sering memberi tunjuk ajar serta menceritakan realiti sebenar yang berlaku dalam selok-belok penganjuran sesebuah konsert nyanyian, anak-anaknya berjaya meraih keputusan cemerlang lantaran mendapat pencerahan bapa mereka sendiri.

“Anak-anak saya belajar jurusan creative visual dan event management, saya selalu cerita kepada mereka.

“Jadi, anak-anak saya dapat skor sebab tahu lebih mendalam, bapa mereka pula buat event.

“Alhamdulillah, mereka masing-masing dapat Anugerah Dekan sebab dia tahu apa dia buat dan belajar, bukan setakat teori semata-mata,” ujarnya.

Awie ditemui XTRA semasa majlis sidang media Konsert Wings The Rock Emperor – Penang Chapter di Maristar, The Starhill, Bukit Bintang hari ini.

Sementara itu, pelantun lagu Tragedi Oktober itu berpendapat pengalaman sangatlah mahal dan tidak boleh bergantung kepada pengetahuan sahaja.

“Bila ada pengalaman ni sangat bagus. Pengalaman banyak membantu dalam pembikinan konsert.

“Kebanyakan event organiser belajar melalui pengalaman, bukan pendidikan. Saya ada ramai kawan-kawan yang bukan keluaran universiti. Mereka belajar dengan menuntut daripada orang-orang berpengalaman,” jelasnya.

Wings bakal mengadakan Konsert Wings The Rock Emperor – Penang Chapter pada jam 9 malam, 24 Februari nanti di Pulau Pinang.

Penganjuran konsert kali ini adalah rentetan daripada sambutan yang amat hangat daripada konsert pada 16 Disember lalu yang mencatat sejarah apabila seramai 9,000 peminat tegar membanjiri Stadium Malawati.

Konsert kali ini mengetengahkan konsep Tonton, Gores & Menang yang bakal mengukir kegembiraan penonton kerana mereka bakal membawa pulang pelbagai hadiah menarik termasuklah koleksi barangan peribadi ahli Wings sendiri.

Hot FM dan Kool 101 dipilih sebagai Radio Rasmi konsert Wings manakala XTRA pula dipilih sebagai Rakan Media Digital Rasmi.

Tiket untuk menyaksikan Konsert Wings The Rock Emperor – Penang Chapter boleh didapati di http://wings.ubertickets.asia.

Syamir Shafie