‘Kalau Tak, Saya Nak Makan Apa?’- Altimet Nafi Kecil Hati Dengan Komen Netizen

Penyanyi Altimet mengaku tidak berkecil hati terhadap kecaman netizen yang menganggap dirinya memperdaya peminat apabila lagu terbaharunya terus dimainkan di radio.

Kata Altimet ketika ditemui di E! Media Prima TV Networks semalam berkata dia tiada hak untuk menghalang stesen radio untuk terus memainkan lagu-lagu terbaharunya.

“ Ini semua di luar kawalan saya. Takkan saya nak telefon stesen radio beritahu agar jangan putarkan lagu-lagu saya lagi.

“ Nak buat macam mana? Bila ada permintaan, maka sesebuah lagu itu akan terus diputarkan. Tambahan, apabila lagu dimainkan, saya juga akan terima royalti. Kalau tak, saya nak makan apa,” soalnya.

Tambah penyanyi yang kini muncul dengan lagu Nak Apa Lagi duet bersama Aryanti, dia menghargai sebarang komen yang diterima daripada netizen.

“ Setiap benda yang saya buat mesti ada orang kecam. Jadi saya risau kalau buat sesuatu orang tak kecam, maknanya ia tiada impak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Altimet turut disunting oleh pengarah dan penerbit OlaBola The Musical Returns, Puan Sri Tiara Jacquelina bagi menghasilkan lagu untuk pementasan sebuah teater muzikal.

“ Masih terlalu awal untuk saya kongsikan, Insha Allah untuk pementasan muzikal seterusnya, saya bakal menyumbangkan beberapa buah lagu,” akhirinya.

Selain Altimet, teater OlaBola The Musical Returns yang dipentaskan di Istana Budaya dari 18 Februari sehingga 3 Mac lalu turut dibintangi Brian Chan, Iedil Putra, Luqman Hafidz, Abimanyu Masilamani, Lim Jian Wen dan ramai lagi. All the best, Altimet!

SGMS Faida