Categories: Eat Travel

7 jenis makanan yang baik untuk perkembangan otak kanak-kanak

Pada zaman anak anda membesar, mereka biasanya pergi ke sekolah, sertai pelbagai aktiviti dan akhirnya pulang ke rumah. Esoknya mereka akan mengulangi rutin yang sama.

Sepantas mereka bergerak, sepantas itulah otak mereka berkembang. Inilah sebabnya apa yang mereka makan sangat penting.

Pakar sakit jiwa, Dr Drew Ramsey berkata bahawa waktu mereka membesar sangat kritikal bagi perkembangan otak kanak-kanak.

“Apa yang mereka makan memberi impak kepada skil kognitif serta fokus mereka.”

Tujuh jenis makanan ini dapat membantu pemikiran kanak-kanak untuk kekal tajam serta menentukan bagaimana otak mereka berkembang pada masa hadapan.

1. Telur

Menurut Cef Beth Saltz, protein dan nutrien dalam telur mampu menolong kanak-kanak menumpukan perhatian.

Cara hidangan: Masakkan telur hancur dan jadikannya sebagai inti roti bijirin untuk sarapan atau snek tengah hari. Selain itu, sandwic telur juga menyelerakan bagi kanak-kanak.

“Kombinasi ini cukup mengenyangkan tanpa menggunaan sebarang gula pun,” kata Beth.

2. Dadih Greek

Menurut pakar diet, Laura Lagano, lemak juga penting bagi kesihatan otak. Dadih mengandungi lebih banyak protein daripada jenis dadih lain.

Dadih penuh lemak jadi ia mampu mengekalkan sel otak dalam keadaan baik dari segi menghantar dan menerima informasi.

Cara hidangan: Campurkan dadih ini dengan bijirin dan beri biru atau coklat gelap yang mengandungi nutrien polyphenol. Nutrien ini menajamkan minda kanak-kanak dengan menghantar aliran darah ke otak.

Foto: ohmydish.com

3. Sayuran hijau

Kaya dengan folate dan vitamin, bayam dan sayur kale dikatakan mampu mengurangkan kebarangkalian mengalami demensia pada masa akan datang.

Kale dianggap sebagai ‘super food’ kerana ia penuh dengan antioksida yang membantu sel otak membesar.

Cara hidangan: Sesetengah kanak-kanak tidak gemar makan sayur, anda patut selitkannya di dalam hidangan, seperti di dalam minuman smoothie, telur dadar atau lasagna.

Satu cara lain ialah dengan membuatkan kerepek sayur kale. Potong pangkalnya, letakkan sedikit garam dan minyak zaitun dan bakar di dalam ketuhar.

4. Ikan

Ikan antara sumber terbaik vitamin D dan omega-3 yang melindungi otak daripada kemerosotan skil mental dan kehilangan memori. Salmon, tuna dan sardin memang kaya dengan omega-3.

Menurut pakar diet Bonnie Taub-Dix, lebih banyak omega-3 yang kanak-kanak makan, lebih baik otak mereka akan berfungsi. “Mereka juga akan dapat menumpukan perhatian dengan lebih baik.”

Cara hidangan: Bakar dan hidang dengan sos pencicah atau jadikannya sebagai inti sandwic.

5. Kekacang

Kaya dengan protein, asid lemak penting, vitamin dan mineral, kekacang mampu menaikkan mood dan memastikan sistem saraf anda berada di dalam keadaan yang baik.

Cara hidangan: Sapukan mentega kacang pada roti atau biskut. Jadikan kuaci sebagai snek atau masukkannya di dalam salad.

Foto: Flickr

6. Oat

Oat yang kaya dengan protein dan serat membantu memastikan arteri hati dan otak lancar. Di dalam satu kajian, kanak-kanak yang makan oat manis mendapat markah lebih tinggi dalam latihan memori di sekolah berbanding kanak-kanak yang makan bijirin bergula.

Cara hidangan: Tambahkan serbuk kayu manis yang mampu melindungi sel otak.

7. Buah epal dan pelam

Kanak-kanak selalunya inginkan snek atau makanan bergula terutamanya apabila mereka kekurangan tenaga. Epal dan pelam senang dibawa ke sekolah dan mengandungi quercetin, sejenis antioksida yang mampu merawat kemerosotan skil mental.

Cara hidangan: Khasiatnya terdapat pada kulit buah ini, jadi beli yang organik, bersihkan dengan cermat dan hidang sebagai snek ringkas

Sumber: WebMD

Ad Ops