’Kami Tak Mampu Hentikan Perang Tapi…’- Ella Dilantik Duta Misi Kemanusiaan Ke Lubnan

Ratu Rock Negara Ella mengaku dia dan suaminya, Kapten Azhar bersetuju menerima tanggungjawab sebagai duta kemanusiaan atas dasar tanggungjawabnya sesama insan.

Bakal terbang ke Lubnan pada 26-30 April ini, Ella atau nama sebenarnya Nur Zila Haji Aminuddin terpanggil menyertai misi bersama Kedamaian Kemanusiaan Berhad (KKB) untuk berkongsi kebahagiaan bersama rakyat Palestin yang kini berlindung di Lubnan. 

“ Kami terpanggil mahu menyebarkan tuntutan sebagai manusia dalam membantu mereka yang memerlukan.

“ Jujurnya kami tidak mampu hentikan peperangan tetapi kami berasa bertanggungjawab untuk berkongsi rasa perit mangsa di sana. Kami mahu salurkan sedikit kebahagiaan dan sumbangan bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup di sana.

“ Sekurang-kurangnya dapat berkongsi bahagia walaupun sedikit,” katanya ketika ditemui di sidang media bersama bersama wakil KKB di Hotel Grand Millenium, petang tadi.

Tambah Ella, menerusi pelancaran kempen #1follower1ringgit ini, Ella berharap rakyat Malaysia dapat menyumbang seikhlas hati dalam membantu rakyat Palestin yang kini berada di Lubnan.

“ Mungkin tak banyak bagi setiap individu, tetapi bila kita bergabung Insha Allah misi dan objektif kita boleh tercapai.

“ Kem pelarian ini ibarat penjara tanpa sokongan dan kemudahan asas, tiada pendidikan dan aktiviti sosial yang disediakan. Sekurang-kurangnya dengan bantuan dari usaha ini dapat mengukirkan senyuman di wajah mereka,” akhirinya.

Oleh: Najmi

SGMS Faida