Categories: HiburanTrending

“Kenapa Nak Malu?” – Tuah Adzmi Kembali Bekerja Sebagai Pembantu Stor Di Kilang

Biarpun pernah memberitahu dirinya sudah meletakkan jawatan kerana mahu memberi tumpuan terhadap bidang nyanyian, penyanyi Tuah Adzmi kembali meneruskan kerja sebagai pembantu stor di sebuah kilang mencetak al-Quran.

Menurut bekas peserta Vokal Mania TV3 ini, pengalaman melalui detik sukar tatkala berhadapan pandemik membuatkan dirinya memikirkan masa hadapan.

“Saya tak jadi letak jawatan. Saya kembali bekerja di kilang tersebut tetapi sebagai pekerja separuh masa sahaja. Majikan tiada halangan, jadi saya boleh ambil cuti pada bila-bila masa jika menerima undangan menyanyi atau ingin menghadiri sebarang acara hiburan.

“Kenapa perlu terbit rasa malu nak kerja kilang? Status sebagai artis tak penting. Saya hanya mencari rezeki dengan melakukan kerja halal untuk meneruskan hidup dan membantu ibu tercinta memandangkan saya anak tunggal.

“Bahkan, saya rasa bangga kerana ada sumber pendapatan yang boleh menampung kehidupan. Secara jujur, pengalaman menempuhi detik sukar tatkala pandemik melanda membuatkan saya lebih beringat.

“Saya sendiri tak boleh jangka bagaimana keadaan kewangan di masa hadapan jadi apabila saya ada kerja, saya rasa lebih yakin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, artis naungan FMC itu kini muncul dengan single Dusta Cinta yang menonjolkan elemen muzik 90-an.

“Dusta Cinta sudah mula dipasarkan di semua aplikasi penstriman dan YouTube semenjak sebulan lalu. Melihat trend muzik semasa, saya buka langkah berani dan tampil dengan sesuatu yang diinspirasikan seperti muzik era 90-an.

“Trend sekarang, penyanyi-penyanyi lain akan cover lagu-lagu lama, tetapi saya tampil lagu baharu dengan elemen slow rock era 1990-an. Saya rakamkan lagu baharu dengan nafas muzik lama.

“Saya membesar dengan lagu-lagu yang popular zaman itu dan semoga karya kali ini dapat diterima baik pendengar,” jelasnya.

Padin