Kerap Buat Perkongsian, Altimet Mengaku Lebih Mahir Berkomunikasi

Selepas mengambil keputusan bersara dari dunia nyanyian, penyanyi Altimet memaklumkan dia kini kerap menghadiri majlis perkongsian ilmu.

Katanya ketika ditemui di pelancaran Great Amal Fest, Altimet mengaku seronok dapat ‘turun padang’ dan melakukan perkongsian bersama orang awam terutama belia.

“ Kebelakangan ini, saya sering dijemput menghadiri majlis acara sharing session yang memerlukan saya bercakap di hadapan orang ramai. Umum tahu, sebelum ini saya bukan banyak cakap orangnya.

“ Tetapi selepas terlibat dalam beberapa buah acara sebelum ini, saya sedar kemahiran berkomunikasi lebih baik. Baru-baru ini saya juga menghadiri sebuah acara di Universiti Institut Teknologi Malaysia (UiTM) untuk perkongsian mengenai perniagaan muzik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Altimet  kini sibuk meneruskan pengajian di peringkat Ijazah dalam bidang Industri Kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM).

“ Seronok dapat bergelar pelajar semula. Sekurang-kurangnya dapat mengisi masa menghilangkan kebosanan selepas dah ‘pencen’. Banyak benda saya dapat belajar dan syukur segalanya dipermudahkan,” katanya.

Altimet yang merupakan seorang rapper terkenal mengotakan janjinya untuk berhenti bergelar penyanyi berkuat kuasa serta merta sejak 22 November tahun lalu.

SGMS Fas