Kerjaya Makin Lancar Lepas Bertudung, Fouziah Gous Mohon Netizen Doakan Sesuatu?

Alhamdulillah…Penampilan terbaharu pengacara dan pelakon Fouziah Gous ternyata mendapat pujian ramai.

Bercakap mengenai kerjaya seni selepas bertudung, isteri kepada Md Zhafran Md Yusof memberitahu, segalanya berjalan macam biasa.

“Jika diikutkan, sebelum saya pergi menunaikan haji, memang ada produk yang menawarkan kerja. Cuma dengan keadaan sekarang, saya tawakal… Kalau ada rezeki, adalah.

“Bagaimanapun saya memanjat kesyukuran ada dua produk yang menerima perubahan ini dan meneruskan tawaran,” katanya kepada BH Online.

Tambah Fouziah, dia tidak berselindung dengan pengeluar produk terbabit bahawa dirinya sudah berhijab.

“Misalnya, bagi suatu produk ini, saya akan mulakan penggambaran esok. Syarikat terbabit menghantar paparan skrin imej bertudung saya selepas ditanya mengenai rujukan pakaian yang perlu digayakan.

“Saya percaya pengeluar produk sudah mula terbuka dalam hal ini,” katanya.

Ibu kepada Muhammad Zeeshan dan Zaheen Yusof ini meminta agar para peminat mendoakan agar dia terus istiqamah.

 “ Doa baik-baik… Insya Allah. Saya bukan manusia yang sempurna.

“Sebelum ini, saya pernah mencuba termasuk selepas beberapa kali mengerjakan umrah.

“Malah, selepas berkahwin. suami menyuruh saya memakai tudung. Tapi saya tak mahu buat semua itu atas paksaan atau suruhan orang lain,” katanya yang mahu lakukan perubahan secara perlahan.

SGMS Faida