Categories: Hiburan

Khas Ramadan Ini: Seleksi Rancangan Wajib Tonton Untuk Seisi Keluarga

Bulan Ramadan membawa pelbagai barakah. Bulan ini juga merupakan waktu yang terbaik untuk mengeratkan lagi hubungan sesama keluarga. Selain bersahur serta melaksanakan ibadah Tarawih bersama, aktiviti harian biasa juga boleh dilaksanakan bersama dengan lebih bermakna.

TV3 menawarkan variasi rancangan menarik yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga sepanjang bulan ini.

#1 JEJAK RASUL: ULAMA PEWARIS RASUL III

Siri popular ‘Jejak Rasul’ kembali lagi Ramadan ini. Ia merupakan kesinambungan siri Ulama Pewaris Rasul, sebuah siri dokumentari sejarah Islam Alam Melayu.

Terokai sejarah alim ulama yang bertapak di Pulau Pinang, Pahang, Terengganu dan Kelantan bersama hos terkenal, Fedtri Yahya. Antara persoalan yang bakal dirungkai menerusi siri kali ini adalah mengenai Kelantan sebagai negeri Islam pertama, Haji Abdul Rahman Limbong pemberontak atau pembela agama, gerakan Pahang menentang Inggeris dan keberertian Port Swettenham bagi agama Islam.

Tarikh mula siaran: 18 Mac 2023 (Sabtu) pada jam 6.30 petang

#2 SAHABAT BACKPACKERS

Aktiviti mengembara merupakan aktiviti yang mampu meluaskan minda. Menghayati kisah pengembaraan juga mampu meningkatkan pengetahuan berguna.

Siri travelog kembara ‘Sahabat Backpackers’ musim ini menayangkan pengalaman hos Jalal Zaiki dan Da’i Azrin ke Sabah dan Sarawak untuk mencari sesuatu yang indah di sebalik kehidupan. Setiap episod akan merungkai kisah kisah manusia di sepanjang penggambaran dan berkongsi perkara sunat yang boleh dilaksanakan ketika sedang mengembara. Menepati tema travelog, hos juga akan berkongsi lokasi menarik di setiap destinasi kunjungan.

Tarikh mula siaran: 25 Mac 2023 (Sabtu) pada jam 1.00 tengah hari

#3 OH MUMMY

Menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu bukanlah tugas yang mudah. Namun, ia adalah fasa kehidupan yang indah.

‘Oh Mummy’ merupakan program realiti yang mempersembahkan kehidupan selebriti di luar dunia penuh glamour dan sebaliknya, mengharungi cabaran harian sebagai seorang ibu.

Saksikan telatah Sharifah Shahirah dan anaknya dalam melaksanakan aktiviti harian seperti memasak, menghias rumah dan membeli-belah untuk persiapan hari raya. Dapatkan juga tips berguna yang dikongsi khas oleh artis ternama ini menerusi ‘Oh Mummy.’

Tarikh mula siaran: 25 Mac 2023 (Sabtu) pada jam 5.30 petang

#4 JALAN JALAN CARI MAKAN RAMADAN

Jalan Jalan Cari Makan (JJCM) tidak lagi perlukan pengenalan. Ia adalah rancangan travelog makanan paling popular di Malaysia.

Namun, edisi Ramadan ini menawarkan konsep yang berlainan daripada biasa. Nadia Hasnan, hos JJCM, akan menikmati juadah-juadah yang menyelerakan dengan cara yang berbeza. Dia tidak akan menjamah hidangan-hidangan tersebut. Sebaliknya, dia akan memberi pandangannya berdasarkan rupa, tekstur dan aroma makanan tersebut.

Senang cerita, ia ulasan berasaskan konsep ASMR. Memang menarik!

Tarikh mula siaran: 26 Mac 2023 (Ahad) pada jam 11.30 pagi

#5 DIARI DADDY

Masa berkualiti bersama anak sememangnya tiada tolok bandingnya. Peranan bapa juga tiada tandingannya. ‘Diari Daddy’ memaparkan hubungan selebriti bergelar bapa bersama anak-anak mereka.

Ikuti kembara Black bersama anak-anaknya yang tersayang dalam melaksanakan aktiviti menarik seperti berkhemah, berenang dan juga berlumba motocross.

Tarikh mula siaran: 26 Mac 2023 (Ahad) pada jam 5.30 petang

Untuk keterangan lanjut mengenai rancangan-rancangan menarik TV3, layari Facebook rasmi dan Instagram (@TV3Malaysia), saluran YouTube (@TV3Malaysia Official), tonton LIVE TV dan XTRA Live TV.

Afiqah Azizan