Konsert Ulang Tahun Ke-26 Ungu Buai Emosi Lebih 3,000 Peminat

Kerinduan peminat kumpulan terkenal dari Indonesia, Ungu akhirnya terubat pada Konsert Ulang Tahun ke-26 Ungu yang berlangsung semalam.

Konsert malam pertama yang meraikan ulang tahun ke-26 kumpulan itu ternyata berjaya memukau lebih 3,000 peminat di Dewan Star Convention Center, Menara PGRM Kuala Lumpur.

Konsert yang berlangsung lebih dua jam itu mempersembahkan lebih 20 buah lagu hits mereka antaranya Kekasih Gelap, Percaya Padaku, Andai Ku Tahu, Bila Tiba, Tercipta Untukku, Cinta Dalam Hati, Hampa Hatiku dan banyak lagi.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli bersama tiga anak baginda, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah ke konsert terbabit.

Bukan hanya itu, konsert tersebut juga dihadiri oleh penyanyi rock terkenal tanah air iaitu Amy Search. Suasana menjadi gamat apabila vokalis Ungu, Pasha menyanyikan lagu hit lagenda rock itu, Isabella.

Menyerlahkan persembahan yang cukup bertenaga, kejayaan malam pertama Konsert Ulang Tahun ke-26 Ungu turut membuai emosi peminat sehinggakan ada yang menitiskan air mata saat lagu Tercipta Untukku didendangkan.

Selain Pasha, Ungu yang dianggotai Onci, Makki, Rowman dan Enda ini turut mempamerkan kehebatan masing-masing dalam menjayakan konsert dengan penuh rasa kepada peminat.

Konsert Ulang Tahun ke-26 Ungu yang dibawakan oleh Star Planets ini juga disokong oleh Kementerian Pelancongan Malaysia.

Kredit foto: 43kpictures

Khairil Khusyairi