Lagu Raya ‘Seikhlas Hati’ Kekal Identiti SOG x Shila Amzah, Siap Ada Screamo Lagi! – “Kami Harap Part Chorus Akan Sampai Ke Hati..”

Kemenangan kumpulan SOG dan Shila Amzah yang menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL 36) yang lalu memberi impak yang besar sehingga berjaya membuka mata peminat muzik tanah air.

Kejayaan mereka sekaligus meletakkan satu ‘benchmark’ kepada muzik indie yang semakin berkembang seiring dengan muzik-muzik ‘mainstream’ yang ada.

Sempena kemenangan mereka, Media Prima mengambil langkah dengan bekerjasama bersama SOG dan juga Shila dalam menerbitkan sebuah lagu baharu yang menjadi lagu tema untuk raya tahun ini.

Lagu ini dicipta oleh Raja Nazmin Shah manakala liriknya pula dicipta oleh Shila sendiri dan lagu ini dinyanyikan mereka.

Menurut Shila, perkara penting yang ingin disampaikannya dalam lagu tersebut ialah bahagian korus yang dibawakan oleh Riko, salah seorang penyanyi SOG.

Menurut SOG pula, mereka bersyukur diberi kebebasan 100 peratus untuk menghasilkan lagu raya bersama Media Prima dan dibenarkan untuk mengekalkan identiti tersendiri.

“Kami hanya wajib untuk meletakkan lirik tema ‘Seikhlas Hati’ dalam lagu, yang lain semuanya bebas.

“Kudos kepada TV3 kerana masa meeting, pihak produksi kata kami diberi peluang untuk kekalkan identiti kami sebagai sebuah band Indie,” kata salah seorang ahli SOG.

Ditanya mengenai perancangan lagu selepas memenangi AJL 36, Shila dan SOG mengakui mereka mempunyai idea untuk menyambung kolaborasi namun tidak menyangka selepas Pelukan Angkasa, mereka terus bekerjasama dalam sebuah lagu raya.

“Kami ada plan untuk rekod single bersama selepas menang AJL, cuma kami tak pernah terfikir lagu seterusnya itu akan menjadi lagu raya.

“Tapi kami bersyukur perkara ini terjadi. Untuk kami kadang kala perkara yang tidak disangka terjadi itu ada hikmahnya,” kata Shila.

Seiring dengan tema kempen Ramadan dan Raya Rangkaian Televisyen Media Prima iaitu #SeikhlasHati, lagu yang dicipta ini juga menggunakan tajuk yang sama iaitu ’Seikhlas Hati’.

Menerusi lirik lagu ini juga, ia mengajak kita untuk saling bermaafan dan di kesempatan untuk kita terus memberi dengan seikhlas hati.

Pastinya masih lagi mengekalkan genre muzik SOG yang sama, lagu raya ini benar-benar memberi kelainan jika dibandingkan dengan lagu raya yang sedia ada.

Aqilah Paharuzi