‘Lapor Terus Jika Ternampak’- Ahmad Idham Beri Amaran

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) Malaysia, Ahmad Idham Nadzri, hari ini, mendedahkan filem animasi Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal menjadi mangsa rakaman haram penonton tidak bertanggung jawab.

“Produser filem (Haji Burhanuddin) mengadu kepada saya sudah ada penonton merakam visual 4 minit dan berkongsi di Youtube.

“Mujurlah, kami (Finas) ada pasukan khas yang sememangnya memantau perkara ini berjaya padam rakaman itu daripada terus viral,” katanya.

Oleh itu, beliau memohon semua pihak terutama pihak pawagam sentiasa memantau dan meningkatkan tahap pengawasan di dalam pawagam.

Beliau berkata lagi, jika pihak pawagam tiada kapasiti untuk bertindak, mereka boleh saja bekerjasama dengan Finas untuk mencari penyelesaian sesuai.

Sejak dilantik sebagai CEO Finas, isu berkaitan rakaman dan muat naik karya secara haram ke platform salah, menjadi salah satu keutamaannya.

“Kalau pengguna ternampak aktiviti berkaitan ketika tayangan, terus saja melaporkannya kepada pihak pawagam untuk tindakan selanjutnya.

“Saya sangat memandang serius perkara ini untuk membantu penerbit tempatan yang terpaksa berdepan dengan isu-isu seperti ini,” katanya.

Beliau juga akui tidak teragak-agak menggunakan kapasiti sebagai CEO untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang terbabit dalam aktiviti berkaitan.

Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal menelan belanja RM20 juta dan mengambil masa lima tahun untuk disiapkan dengan 100 peratus kepakaran anak tempatan mula ditayangkan sejak 21 Mac lalu.

Oleh: Endy Ashari

SGMS Faida