Lebih Aktif Urus Perniagaan, Zara Zya Tak Rancang Perlahankan Kerjaya Seni

Pelakon Zara Zya tidak merancang untuk memperlahankan kerjaya lakonan biarpun kini dia lebih aktif dalam menguruskan perniagaannya.

Menurut Zara, dia ingin terus kekal relevan dalam industri lakonan walaupun kerjayanya itu bakal menjadi hobi buatnya suatu hari nanti.

“Saya tidak terfikir pun lagi untuk memperlahankan kerjaya seni. Tapi tak mustahil apabila usia semakin meningkat, mungkin saya akan jadikan bidang lakonan sebagai hobi demi mengubat kerinduan peminat.

“Rasanya sekarang pun saya sudah punya jenama yang cukup baik sebagai seorang Zara Zya. Apa yang perlu saya lakukan sekarang adalah untuk menjaga nama baik supaya terus kekal relevan,” katanya.

Memetik laporan Kosmo, Zara tidak mengharapkan pendapatan dalam bidang lakonan semata-mata kerana menyedari kerjaya sebagai seorang pelakon sangat singkat.

“Bagi saya sampai bila hendak berlakon? Perjalanan dalam industri seni di Malaysia sangat singkat. Disebabkan itu saya perlu ada perniagaan sendiri,” katanya.

Namun, pelakon itu juga tidak berputus asa untuk mengembangkan perniagaannya biarpun pernah melalui fasa kejatuhan dan kerugian dalam bidang tersebut.

“Kegagalan masa lalu membuatkan saya lebih bersemangat untuk bangkit kerana percaya tidak selamanya nama akan bertahan dalam dunia seni.

“Saya sudah melalui untung rugi dan pernah ditipu. Namun semua ujian itu tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus berniaga. Tipu kalau saya tidak ada rasa putus asa, tapi saya perlu bangkit untuk melakukan sesuatu,” katanya.

Sumber: Kosmo

Fatin Nurain