Liyana Jasmay Kini Lebih Peka Tentang Status Kesihatan Diri – “Genetik Saya Berisiko Hidap Kanser”

Pelakon dan penyanyi Liyana Jasmay mengakui dirinya kini lebih peka dan mengambil tahu tentang status kesihatannya selepas kedua-dua orang tuanya meninggal dunia disebabkan penyakit kanser.

Menurut Liyana, selain melakukan pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh, dia juga mula mengamalkan pemakanan yang sihat dan elak dari makan makanan yang diproses serta berlemak.

“Perkara yang menimpa ibu bapa menjadi pengajaran untuk saya memandangkan kedua-duanya meninggal dunia disebabkan kanser.

“Arwah bapa meninggal disebabkan kanser paru-paru, manakala arwah mama pula disebabkan barah otak. Jadi genetik saya memang berisiko untuk menghidap kanser.

“Selain perlu lakukan pemeriksaan kesihatan menyeluruh, saya juga kena menjaga pemakanan dan mengelak untuk mengambil makanan proses dan berlemak,” katanya.

Perkara itu telah didedahkan oleh Liyana ketika ditemui di sidang media siri baharu, Alter-Naratif terbitan Viu Malaysia, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Liyana juga menyatakan penyakit barah otak yang dihidapi arwah ibunya, Datin Habsah Simpon lambat dikesan dan kanser tersebut sudah berada di tahap keempat ketika mengetahuinya.

“Awalnya mama mengalami masalah penglihatan sejak tiga tahun lalu. Jadi saya ajak dia tinggal bersama-sama saya memandangkan rumahnya terlalu besar, susah untuk turun naik tangga.

“Sebelum mama menjalani pembedahan mata, kami sempat pergi bercuti. Selepas pembedahan, tiba-tiba mama jalan senget. Hasil pemeriksaan yang dilakukan akhirnya mendapati mama menghidap barah otak,” jelasnya.

Biarpun sedih atas kehilangan dengan pemergian dua insan tersayangnya dalam masa 17 bulan, pelantun lagu Aku Tak Percaya Cinta itu reda dengan ketentuan-Nya.

“Saya sedih. Namun, momen-momen menyeronokkan bersama mereka membuatkan saya kembali tersenyum. Memori itu menjadi kenangan saya hari ini,” katanya.

Terdahulu, ibu Liyana telah meninggal dunia pada 12 Mei 2023 akibat barah otak tahap empat.

Manakala, bapanya, Datuk Jasmay Md. Shah telah menghembuskan nafas terakhirnya ada 17 Disember 2021 akibat kanser paru-paru.

Fatin Nurain