Lokasi, Tok Kadi Dah Ready, Awi- Atikah Kahwin 17 Mac 2019

Bertunang pada Mac lalu, pasangan selebriti Awi Rafael dan Atikah Suhaime bakal disatukan pada 17 Mac 2019. Wah, tak lama lagi dah tu!

Jelas Awi, mengapa mereka memilih tarikh berkenaan adalah kerana 15 Mac merupakan hari lahir tunang kesayangannya itu.

“ Tarikh berkenaan merupakan hari orang bekerja jadi kami sepakat bawa ke 17 haribulan. Insha Allah majlis nikah bakal diadakan di Singapura.

“ Segala persiapan meliputi lokasi, tok kadi sudah selesai semuanya. Doakan agar semuanya dipermudahkan ya,” katanya.

Ditanya mengenai majlis resepsi di Kuala Lumpur pula, Awi memberitahu ia masih dalam perancangan.

Awi yang baru saja menyambut hari jadi ke 32 tahun semalam turut memberitahu, selepas berkahwin, dia tidak akan menghalang bakal isterinya untuk terus aktif dalam dunia seni.

“ Saya tidak akan menghalang Atikah untuk terus berlakon selepas sah menjadi isteri. Saya akan sokong memandangkan kami sama-sama berada dalam industri sama,” katanya.

Malah, tawaran berlakon diterima Atikah Suhaime yang kini sibuk berulang alik ke Jakarta membuatkan Awi turut gembira.

“ Saya gembira untuk dia. Bila dia di sana saya akan telefon dan berbual begitu sahaja. Tiada facetime atau skype, bercakap di telefon lebih mudah. Lagi buat rasa rindu,” katanya.

Insha Allah, jika diizinkanNya kita bakal menyaksikan penyatuan Awi dan Atikah pada 17 Mac 2019 di Singapura nanti. Kalau dah jodoh tak ke mana kan? Siapa sangka berkawan selama lapan tahun, rapat dalam tempoh tiga bulan saja, terus sepakat nak kahwin. Itulah jodoh namanya. Tahniah sekali lagi!

 

SGMS Faida