“Luck Saya Belum Sampai Lagi…” – Wani Syaz Kecil Hati Sering Dibandingkan Dengan Wany Hasrita

Pelantun lagu Pendusta Cinta, Wani Syaz akui kadangkala berasa kecil hati dengan peminat kerana sering membandingkan perjalanan kariernya sebagai penyanyi dengan Wany Hasrita.

Wani atau nama sebenarnya Nursyazwani Selamat, 25, sedia maklum bahawa rakan yang berada di bawah pengurusan yang sama dengannya lebih menyerlah dan ke hadapan jika nak dibandingkan dengan dirinya walaupun kerjayanya sebagai penyanyi bermula lebih awal dalam industri.

“Memanglah ada sedikit rasa kecil hati apabila orang membandingkan perjalanan kerjaya saya dengan Wany Hasrita dan itu membuatkan saya sentiasa berfikir untuk keluar dengan lagu terbaik supaya peminat boleh nampak diri saya.

“Jika orang terus nak bandingkan kami berdua, saya tidak boleh berbuat apa. Kami berbeza dan dia ada cara nyanyian tersendiri. Memang luck saya belum sampai lagi untuk lebih dikenali,” luahnya kepada mStar.

Wani membuat kemunculan lagu baru pada Januari lepas yang berjudul Sang Purnama. Lagu tersebut merupakan lagu duet bersama Wany Hasrita.

Menurut Wani, kemunculan lagu duet ini membuatkan para peminat mula menyedari perbezaan antara mereka.

Terdahulu, penyanyi muda ini menggunakan Wani sebagai nama pentasnya dan mengambil keputusan untuk menukar nama pentasnya kepada Wani Syaz pada tahun 2018. Tambahan, dia memberitahu bahawa pertukaran nama pentas ini membantu dirinya lebih dikenali dalam kalangan peminat.

“Selepas rebrand semula nama sendiri, barulah orang mula nampak dan kenal siapa saya.

“Menerusi lagu duet juga, peminat dapat membezakan antara kami berdua. Bagaimanapun, sehingga hari ini masih ada yang keliru lagi.” katanya kepada mStar.

Seperti penyanyi lain, Wani juga menceburi bidang perniagaan kerana menyedari dirinya tidak akan selamanya bertahan sebagai penyanyi. Dia juga memaklumkan bahawa dirinya kini lebih memberikan fokus kepada perniagaan restoran miliknya di Batu Pahat, Johor.

“Saya tahu kerjaya nyanyian ini tidak akan bertahan selamanya. Disebabkan itu saya lebih fokus kepada perniagaan demi masa depan sendiri.

“Saya juga tidak tinggal di Kuala Lumpur kerana di sini tidak ada target yang tetap. Tawaran menyanyi juga hanya ada sesekali sahaja.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu terus berhenti menyanyi. Mungkin akan tampil dengan satu lagu baharu setahun.” ujarnya.

Sumber: mStar

Atiqah Johari