M.Nasir Tampil Single Baru, ‘Munajat’ Dijadikan OST Filem Imam

Setelah sekian lama, penyanyi dan komposer lagu, Datuk M.Nasir kini tampil dengan single baharu setelah album terakhir beliau ‘Sang Pecinta’.

Single baharu yang diberi nama ‘Munajat’ adalah ciptaan penuh M. Nasir yang diterbitkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd.

Lagu ini juga dijadikan sebagai OST filem ‘Imam’ yang juga dibintangi olehnya sebagai watak utama.

Secara umumnya, ‘Munajat’ membawa maksud doa atau rintihan hati, selalunya dalam bentuk zikir yang bertujuan untuk merayu dan meminta keredhaan Tuhan Yang Maha Esa iaitu tujuan sebenar seorang Muslim.

Bukan itu sahaja, dalam filem Imam, ‘Munajat’ berperanan untuk mengingatkan kembali tujuan sebenar mengenai percanggahan pendapat antara Imam Lama dan Imam Baru.

“Percanggahan pendapat antara Imam Lama dan Iman Baru melahirkan persengketaan yang mengalihkan perhatian orang daripada tujuan sebenar itu, dan lagu ini berusaha untuk mengingatkan kembali perkara tersebut,” jelas M.Nasir.

Untuk makluman, Luncai Emas berharap single ini dapat mengubati rindu para peminat M.Nasir yang sekian lama menanti buah tangan baru dari beliau. Single ini telah dilancarkan di semua saluran digital dan muzik videonya di saluran YouTube Luncai Emas pada 10 Februari 2023 lalu.

Tambah, filem Imam bakal ditayangkan di semua pawagam pada 2 Mac 2023.

Atiqah Johari