Mak Wan Latah Sedih Dah Setahun Tak Dapat ‘Job’ – “Stesen TV Asyik Tanya Berapa Followers”

Pelakon veteran, Mak Wan Latah mendedahkan hampir setahun dia tidak menerima sebarang tawaran lakonan dek kerana kontroversi lalu.

Menurut laporan Berita Harian, Mak Wan atau nama sebenarnya Halimatussa’diah Mohd Daud berkata, pelbagai alasan yang diberikan pihak produksi apabila disoal peluang tawaran berlakon.

“Buat masa ini, saya tidak buat apa-apa, sudah lama tidak menjalani penggambaran drama. Saya tidak tahu apa alasan, cuma mungkin ada kaitan dengan kontroversi lalu.

“Apa yang berlalu biarlah berlalu. saya tidak mahu ingat lagi. Saya kena bina semula hidup walaupun akaun bank pun tinggal kosong.

“Apa yang ada dalam fikiran saya tawaran berlakon kerana saya perlukan duit untuk bayar rumah, kereta dan membeli ubat-ubatan.

“Saya pernah bertanya peluang tawaran berlakon, namun jawapan yang diberikan pihak produksi adalah pilihan pelakon ditentukan stesen televisyen (TV) dan jumlah pengikut media sosial,” katanya.

Dalam masa sama, Mak Wan turut mempersoalkan mengapa wujudnya pilih kasih apabila wajah pelakon veteran sama yang menghiasi kaca TV.

“Saya sudah 24 tahun berlakon, tetapi bila ditanya, alasan stesen TV minta nak tengok media sosial.

“Mereka hanya ambil nama besar sahaja. Saya bukannya dengki, tetapi apa salahnya berkongsi rezeki.

“Ini tidak, balik-balik wajah sama. Apa jadi dengan kami yang tiada peluang pekerjaan ini. Dapat berlakon satu episod pun saya sudah bersyukur,” luahnya.

Lantaran itu, Mak Wan terpaksa menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan bagi menyara kehidupannya.

“Sebelum ini, saya berniaga di Uptown. Malam ini, saya akan ke Pulau Pinang untuk berniaga pelbagai jenis makanan termasuk sambal hitam, biskut dan bawang goreng.

“Sudah mula berniaga sejak lima tahun lalu. Kalau saya tak berniaga, siapa nak bagi saya makan. Takkan nak minta dengan anak-anak.

“Mereka juga ada komitmen sendiri,” kongsinya.

Terdahulu, Mak Wan terpalit dengan kontroversi antaranya termasuk kes meludah dan pecah amanah bekas pembantu peribadinya.

Lebih panas, turut berdepan pelbagai tohmahan apabila bekas suaminya mendedahkan dia mempunyai akhlak yang tidak baik.

Kemudian, timbul pula pendedahan lain dibuat seorang wanita dalam Twitter yang mendakwa Mak Wan melakukan sihir kepada neneknya kerana cemburu.

Tidak lama selepas itu, tular sebuah video yang merakam gelagat Mak Wan berkaraoke dalam tempoh edah.

Sumber: Berita Harian

Khairil Khusyairi