Categories: HiburanSelebriti

‘Mana Ada Merajuk…’- Raja Ema Teruja Bakal Berlakon Filem

Pelakon Raja Ema mengakui teruja kembali ke set penggambaran selepas beberapa tahun tidak aktif dalam dunia lakonan.

Raja Ema yang kini berusia 51 tahun memaklumkan kesibukannya dalam bidang perniagaan minyak wangi dan produk penjagaan kulit membuatkan dirinya terbatas untuk aktif berlakon.

” Kalau ikutkan saya memang rindu nak berlakon. Filem Keluarga Iskandar The Movie merupakan filem pertama lakonan saya untuk tahun ini.

” Saya sibuk menguruskan menguruskan produk kesihatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tiada istilah merajuk atau sebagainya. Tahun ini saya ada sedikit masa untuk kembali berlakon.

” Februari ini saya dan pelakon lain akan berangkat ke Johor bagi menjalani penggambaran filem ini,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran filem Keluarga Iskandar The Movie di MM Cineplexes, E Curve, Kuala Lumpur.

Selain Raja Ema, pelakon lain yang turut menjayakan filem itu termasuk Hilal Azman, Zain Hamid, Azhar Sulaiman, Anita Baharom, Kismah Johar dan ramai lagi. 

Berkongsi perkembangan tentang single terbaharu, pemilik nama lengkap Raja Ema Raja Ibrahim ini bakal tampil dengan single berjudul I Di Cintamu ciptaan Fauzi Marzuki. 

” Lagu sudah siap cuma belum dilancarkan lagi. Saya sedang cari tarikh yang sesuai. Saya memilih konsep lagu ala-ala 80 an sama seperti lagu saya terdahulu iaitu Angan-Angan dan Jejaka Idaman.

” Mungkin lagu akan dilancarkan selepas selesai penggambaran di Johor nanti. Barulah saya boleh fokus untuk urusan promosi lagu baharu,” katanya.

SGMS Faida