Mawi Cadang Jual Tiket Filem ‘Tiada Tajuk’ RM1?

Penyanyi yang juga pengarah filem Tiada Tajuk, Asmawi Ani bercadang menawarkan tiket menonton filem sulung arahannya dengan harga RM1.

Mawi ketika ditemui di majlis tayangan perdana ‘Tiada Tajuk’ di MM Cineplexes E Curve memberitahu dia ingin memberi kejutan kepada penonton di beberapa lokasi terpilih.

“ Saya mahu buat kejutan kepada penonton yang datang menyokong filem ini. Kira macam ‘subsidi’ daripada pihak produksi.

“ Tiket yang kami beli dengan harga penuh dari pihak panggung kemudian saya jual dengan harga RM1 sahaja. Tawaran mungkin hanya terbuka kepada 100 pengunjung terawal. Kita tengok macam mana nanti,” kata Mawi bersemangat.

Mengakui ia sebagai strategi awal untuk mempromosikan Tiada Tajuk di pawagam tempatan, Mawi berharap agar penonton terus memberi sokongan terhadap filem ini.

“ Kalau filem ini berjaya dapat pulangan, Insya Allah saya mahu hasilkan filem seterusnya pula.

“ Selepas berhempas pulas memerah idea selama dua tahun, saya berdoa agar Tiada Tajuk menepati citarasa penonton Malaysia,” akhirinya.

Tiada Tajuk merupakan filem sulung terbitan Mawi World Entertainment yang membariskan pelakon antaranya Hazama, Along Cham, Joey Daud, Amira Othman dan ramai lagi. Jom ke pawagam bermula 4 April ini okay!

Wartawan: Azroy

SGMS Faida