“Memang Sangat Penat” – Sharifah Sakinah Ulang Alik Sweden Jumpa Suami

Pelakon Sharifah Sakinah menafikan dakwaan sudah berhijrah ke Sweden bersama suaminya, Michael Hansen selepas mendirikan rumah tangga.

Menerusi laporan Kosmo, Sakinah tidak pernah membuat kenyataan sudah berhijrah ke sana sebaliknya hanya berulang-alik bertemu suaminya.

“Memang saya tenang di sana tetapi tiada istilah saya terus menetap di Sweden. Sebelum ini saya cuma cakap pergi sekejap dan berulang-alik.

“Saya bukan jenis kacang lupakan kulit. Kehidupan saya kini tenang walaupun perlu berulang-alik begini,” katanya.

Menurut Sakinah atau nama penuh Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, dia perlu berkorban untuk bersama dengan suami demi kepentingan anak-anak yang sedang membesar.

“Pada awalnya kami lakukan dalam tempoh empat bulan tetapi lama-kelamaan menjadi dua minggu kerana anak sudah mula bertanya bila saya akan pulang ke Malaysia.

“Beginilah kehidupan kami, tidak tahu sampai bila sebab semuanya kerana pentingkan anak-anak.

“Mungkin sehingga anak-anak sudah besar dan masuk ke universiti kemudian barulah boleh duduk di bawah satu bumbung,” katanya lagi.

Adik kepada pelakon Sharifah Shahirah ini juga mengakui rutin ulang-alik untuk bertemu suami amat memenatkan.

“Saya akui, memang sangat penat. Kos yang tinggi juga satu hal kemudian jet lag (mabuk altitud) pula ambil masa seminggu untuk pulih.

“Kemudian lagi penat dan sedih apabila ketika saya di sana, mendengar khabar duka ada kenalan meninggal dunia.

“Perkara itu yang paling tidak suka ketika ke luar negara,” ujarnya.

Terdahulu, Sakinah membuat kejutan sudah bernikah dengan Michael namun tidak mendedahkan atas faktor peribadi dan isu agama.

Untuk rekod, hasil perkahwinan Sakinah dan bekas suami, Aliff Adha, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Anais Adha yang kini berusia lima tahun.

Sumber: Kosmo

Maya Basir