Memori Lama Bertandang Kembali Dalam ‘Seribu Rindu’

Bayangkan bila anda dipaksa berkahwin dengan orang yang tidak pernah anda terfikir akan menjadi pasangan hidup, bagaimana agaknya?

Seribu Rindu mengisahkan Maisarah (Azira Shafinaz) yang nekad pulang ke kampung selepas patah hati. Ini kerana lelaki yang dicintai akhirnya berkahwin dengan orang lain atas desakan keluarga.

Di kampung, Maisarah bertemu dengan Irfan (Zul Ariffin) yang merupakan sahabat baiknya sejak kecil. Tanpa sedar, Irfan sebenarnya mencintai Maisarah sekian lama.

Tidak mahu kehilangan Maisarah yang terus bersedih, Irfan membuat keputusan untuk melamar Maisarah di saat hubungan Maisarah dan Airel berantakan. Maisarah terkejut kerana dia tidak pernah menyangka Irfan yang sudah dianggap abang telah lama menaruh perasaannya.

Akhirnya, Maisarah menerima lamaran Irfan setelah membuat solat istikharah. Airel kecewa dengan keputusan Maisarah. Dia sakit hati kerana sebelum ini Maisarah sering menafikan dia juga sukakan Irfan dan mengatakan mereka sekadar kawan baik sahaja.

Tragedi tak disangka mula menimpa Irfan apabila terbabit dengan kemalangan sehingga menyebabkan dia lumpuh. Konflik semakin memuncak apabila doktor yang merawat Irfan sebenarnya merupakan bekas kekasih isterinya. Apakah perasaan Irfan selepas itu?

Drama Akasia ‘Seribu Rindu’ lakonan Zul Ariffin dan Azira Shafinaz ini turut dibarisi oleh pelakon Fadlan Hazim, Mona Allen, Ku Faridah, Harris Baba, Fazlina Ahmad Daud, Hafizuddin Fadzil dan ramai lagi.

Adakah Maisarah akan kembali dibuai perasaan cintanya terhadap Airel atau tetap memilih Irfan yang setia? Ketahui kesudahannya drama 28 episod arahan Zamri Zakaria ini di slot Akasia, setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7 malam. 

 

 

SGMS Faida