Menangis Setiap Kali Selesai ‘Shooting’, Fyza Kadir Sedar Diri Tak Ada Bakat – “Keputusan Berhenti Berlakon Tepat”

Pempengaruh media sosial dan ikon fesyen, Fyza Kadir mengakui dia membuat keputusan tepat untuk berhenti berlakon selepas menyedari dirinya langsung tidak mempunyai bakat dalam bidang lakonan.

Menceritakan lebih lanjut, Fyza berkata dia menandatangi kontrak di bawah syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG) sekitar 2012 selepas bertemu pemilik MIG, David Teo.

Meskipun ada menyertai kelas lakonan, namun emosi Fyza terganggu apabila dia acap kali menangis selepas usai penggambaran kerana menganggap berlakon itu sukar.

“Saya jumpa David Teo dan dia puji saya ada rupa sikit lah dan boleh ‘jual’. Ketika itu saya fikir tak salah untuk saya mencuba tetapi ternyata saya tak ada bakat berlakon.

“David cuba asah bakat saya tapi saya tak boleh juga. Saya selalu menangis setiap kali selesai penggambaran. Berlakon sangat sukar, jadi no more.

“Saya rasa tak boleh yakin dengan diri sendiri sebab saya pemalu dan suara pun tak nak keluar sangat. Saya jadi takut bila ada ramai lelaki,” ujarnya.

Fyza berkata demikian ketika ditemui di majlis Raya Ariani 1001 Tales diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, Fyza menjelaskan sejak pertama kali bertemu David dia sudah memaklumkan mengenai dirinya yang tidak pandai berlakon.

“Ada orang ambil gambar dan beri nama saya kepada David dan pergi ke ofis dia. Secara terus terang saya bagi tahu dia saya tak pandai berlakon.

“Tapi sehari selepas pertemuan kami, esok dah ada job dan lepas tu boss bagi tawaran back to back.

“Masa tu saya tanda tangan kontrak dengan Wawa Zainal, dia bersemangat nak berlakon. Tapi saya pula sebaliknya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Fyza yang telah mendirikan rumah tangga pada 2013 itu bersyukur keputusan untuk berhenti berlakon adalah tepat.

“Suami tak pernah sekat atau menghalang. Saya rasa sedih kalau tak boleh berikan yang terbaik dalam lakonan.

“Saya sedar diri tak ada bakat berlakon dan keputusan yang diambil ini tepat sebab tak ada ruang untuk jadi bahan orang lain mengecam saya selain untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada keluarga,” tuturnya.

Sekadar info, Fyza pernah membintangi filem Nongkrong, Ajiboy, Pe3, dan Senarai Ops Pocot.

Artikel Berkaitan: Ikon Stail Fyza Kadir Kongsi Tip Tampil Stailish Di Hari Raya

Aqilah Paharuzi