Categories: Hiburan

Mengaku Tidak ‘Berdarah Indonesia’, Instagram Agnez Monica Diserang Warganet!

Penyanyi Agnes Monica yang kini dikenali sebagai nama Agnez Mo mengejutkan sebahagian warganet selepas membuat pengakuan bukan keturunan darah Indonesia. 

Menerusi sebuah temubual bersama pengacara Kevan Kenney menerusi laman Youtube Build Series NYC by Yahoo!, Agnez memaklumkan Indonesia mempunyai 18,000 pulau yang mempunyai budaya yang berbeza. 

Soalan yang ditanya kepada beliau, sama ada Agnez berbeza dari orang kebanyakan di Indonesia.

“Ya kerana saya sebenarnya tidak punya darah Indonesia sama sekali. Saya sebenarnya campuran Jerman, Jepun dan Cina. Saya hanya lahir di Indonesia,” katanya. 

Tambah penyanyi berusia 33 tahun ini, dia juga merupakan penganut agama Kristian dan Indonesia mempunyai jumlah penduduk majoritinya Muslim.

“Saya tidak bermaksud saya bukan dari sana kerana saya berasa diterima. Tetapi saya berasa tidak seperti yang lain,” jawabnya. 

Susulan kenyataan itu, ramai warganet menyerang kenyataan Agnez yang disifatkan mengguris hati penduduk Indonesia. 

Namun begitu, di akhir tembual Agnes menjelaskan dia turut menyelitkan unsur budaya Indonesia dalam karyanya contohnya penggunaan baju batik sehinggalah tarian Jaipong. 

Hal ini turut dikongsi sendiri di Instagram @agnezmo yang mana wanita ini menjawab segala kekusutan di kalangan warganet. 

“Saya akan selalu jujur dan bersaksi kepada dunia bagaimana minoriti seperti saya diberi kesempatan untuk memiliki mimpi dan mengejar impian kita (emoji hati). Hatiku penuh. Mewakili #Indonesia,” akhiri Agnez.

SGMS Faida