“Menggelabah Kemas Rumah!” – Prank Ibu Mertua Datang Mengejut, Netizen Terhibur Lihat Gelagat Harris Annuar & Isteri

Pelakon dan pempengaruh, Harris Annuar dikenali dengan sikap yang gila-gila dan kuat menyakat insan tersayang.

Menerusi sebuah perkongsian dimuat naik di TikTok miliknya, Harris mengusik isteri tercinta, pelakon Asha Merican yang baru sahaja selesai menunaikan solat.

Video berdurasi 33 saat itu memaparkan gelagat Harris mengenakan Asha dengan kejutan bahawa ibu mertuanya, Zaiton Hassan datang ke kediaman mereka.

“Bila comel tak Kak Ton datang rumah. Tahu takut @ashamerican @lagendakakton #BangkitBotak,” tulisnya di ruang kapsyen.

Asha yang duduk di atas sejadah kelihatan sangat terkejut dengan berita tersebut lalu terus bangun apabila suaminya menyakat mahu memanggil ibu mertuanya.

Bagaimanapun, Harris kemudian membawa sebuah kotak barangan jenama Beauty Umaira keluaran ibunya, mesra disapa Kak Ton.

Menjengah ke ruangan komen, ramai dalam kalangan netizen terutamanya golongan wanita memahami perasaan yang dilalui Asha yang seakan berasa gementar sekiranya benar ibu mertuanya datang.

“Time ni la kelam kabut sorok baju menggunung tak lipat. Rumah bersepah-sepah time semua elok tak nak pula datang,” tulis seorang netizen.

Semasa artikel ini ditulis, video tersebut meraih sebanyak 679,000 tontonan, 40,200 tanda suka dan 300 komen.

Artikel Berkaitan: 4 Tahun Rahsiakan Percintaan, Harris Annuar & Asha Merican Selamat Bergelar Suami Isteri

 

Aqilah Paharuzi