Menghitung Hari Bahagia Bersama Watie, Shuib Tak Kisah Dengan Tanggapan Orang – “Ada Yang Lebih Cepat Dari Saya”

Pelawak Shuib mengakui tidak kisah dengan tanggapan sesetengah netizen yang mendakwanya terlalu cepat untuk memulakan kehidupan baru bersama wanita pilihannya, Watie Hanifiah pada 26 Jun ini.

Bakal menamatkan zaman dudanya tidak lama lagi, Shuib menyifatkan ini merupakan masa yang terbaik untuknya meneruskan kehidupan bersama anak-anaknya dan Watie.

ARTIKEL BERKAITAN: Pernikahan Dengan Watie Terima Tajaan Lebih RM1 Juta, Shuib Umum Tiada Majlis Resepsi

Menurut Shuib, Watie dan arwah isterinya, Siti Sarah mempunyai keperibadian yang berbeza dan tidak akan sama.

“Too soon ke too late ke saya rasa benda tu sangat subjektif untuk semua orang. Si Fulan takkan sama dengan Si Fulan. Saya dengan anaknya berapa orang, sibuknya saya, perlunya saya lagi dalam industri dan perniagaan saya.

“Jadi saya yang tahu kapasiti saya sendiri untuk bawa keluarga saya macam mana. Anak-anak saya kecil lagi, itulah harta paling berharga.

“Saya janji dengan diri saya dan arwah (Siti Sarah) saya nak anak-anak saya ni jadi orang yang hebat, soleh solehah, memberi bakti pada negara bangsa dan agama,” katanya.

Dalam pada itu, bapa kepada empat orang anak ini menyatakan tidak mudah bagi dirinya untuk membesarkan putera dan puteri kesayangannya seorang diri.

Malah, dia bersyukur dengan kehadiran Watie di sisi mampu menambahkan seri dalam kehidupan anaknya yang masih memerlukan kasih sayang seorang ibu.

“Benda tu tak mudah, saya tahu kemampuan diri saya. Tipulah kalau saya kata boleh sebab mereka kecil lagi.

“Macam Talita, dia perempuan dia memang nak ada orang yang perempuan dengan dia. Anak-anak saya pula dari dulu semua manja. Bila tak ada mak dia tu, dia rasa sesuatu yang tak cukup.

“Cepat ke tak cepat tu terpulang pada orang tu sendiri. Macam mana dia nak uruskan benda tu dalam hidup. Saya memilih untuk secepat inilah kalau mereka rasa cepat.

“Tapi saya rasa ada orang yang lagi cepat daripada saya. Tapi itulah orang punya tanggapan. Macam saya cakap yang sangat penting adalah dia (Watie), mak saya pesan bukan mudah ada orang datang dalam hidup kita untuk bersama-sama.

“Bila dia dah berkahwin dengan saya, status dia dah jadi ibu kepada anak-anak saya. Baik saya fokus untuk besarkan mereka dan pastikan keluarga saya keluarga yang okay,” jelasnya.

Terdahulu, Shuib dan Sarah telah mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2011.

Hasil perkahwinan itu, mereka telah dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu, Uwais Al-Qarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin dan Ayash Affan.

Namun, Sarah telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: “Bagi Saya Orang Luar Punya Pandangan Itu Tak Penting” – Watie Hanifiah

Fatin Nurain