#Mentor7: Tak Mahu Protege Tertekan, Hafiz Guna Pendekatan Lebih ‘Fun’

Penyanyi Hafiz yang menggalas tanggungjawab sebagai Mentor dalam program realiti musim ketujuh itu memberitahu dia enggan terlalu serius ketika sesi pembelajaran berlangsung.

Hafiz ketika ditemui di sidang media pengenalan peserta Mentor musim ketujuh memaklumkan dia memiliki pendekatan tersendiri.

“ Saya juga macam mereka pernah menjadi peserta program realiti. Saya faham adakala mereka akan rasa tekanan. Sebab itu saya suntik sedikit elemen ceria ketika proses pembelajaran.

“ Saya tak mahu mereka stress tetapi tidak boleh juga terlalu fun sehingga lupa dengan tanggungjawab. Biar seimbang,” katanya.

Menurutnya, dua protegenya iaitu Azmirul dan Amal memiliki keunikan masing-masing.

“ Macam Azmirul dia pakar dalam lagu tradisional namun bukan setiap minggu akan diberikan lagu yang bergenre sama. Manakala Amal pula handal membawakan lagu berentak urban, itu adalah ‘makanannya’.

” Saya mahu mereka hebat dalam semua genre kerana untuk bergelar penyanyi pentas perlu bersedia bukan terikat dengan genre sama saja,” katanya. 

Undian sebenar Mentor 7 akan bermula minggu ini dengan permarkahan berdasarkan penilaian juri tetap sebanyak 50 peratus, undian menerusi laman web www.xtra.com.my (30 peratus) dan juri awam (20 peratus).

Mentor 7 diterajui Nana Mahazan dan Shuk Sahar sebagai pengacara. Sarancak pula mengendalikan segmen di belakang tabir.

SGMS Faida