Miley Cyrus Idam Cahaya Mata Tahun Ini

Selepas berkahwin pada Disember lalu, penyanyi Miley Cyrus meluahkan hasrat untuk memiliki cahaya mata dalam masa terdekat.

Isteri kepada Liam Hemsworth dilaporkan sangat bahagia sejak berkahwin meskipun sibuk dengan kerjaya.

“Miley belum hamil namun, dia mahukan anaknya hasil perkahwinannya dengan Liam. Dia juga nampak sangat bahagia. Baru-baru ini, Miley baru saja selesai merakamkan album akan datangnya,” menurut sumber terdekat dengan penyanyi popular itu.

Pasangan ini juga melalui dugaan hebat apabila kediaman mereka musnah akibat kebakaran hutan, Woolsey Fire yang melanda Los Angeles dan Ventura, November lalu.

Tambah sumber terdekat dengan mereka, tragedi itu menguatkan lagi hubungan cinta mereka.

“Tragedi itu berlaku sebulan sebelum majlis perkahwinan mereka. Selepas berdepan tragedi yang membuatkan mereka trauma itu, kedua-duanya semakin rapat,” katanya.

Ketika kejadian itu, Miley berada di Afrika Selatan dan dalam satu sesi temu bual program bual bicara Jimmy Fallon pada Disember, penyanyi lagu Climb itu berkata, Liam umpama adiwira buatnya.

Miley dan Liam mula bercinta ketika bertemu di set penggambaran filem The Last Song pada 2009 sebelum mengikat tali pertunangan pada 2012.

Bagaimanapun ikatan pertunangan itu putus pada tahun berikutnya dan mereka kembali bersama pada 2016.

SGMS Faida