‘Minta Maaf Sebelum Tengah Malam Ni Atau…’- Fizz Fairuz Beri Amaran Terakhir

Pelakon Dato Fizz Fairuz mahu bersemuka dengan individu yang memfitnahnya menerusi akaun Instagram menggunakan nama Makcik Puaka.

Kata Fizz, dia secara peribadi sebenarnya mengenali individu berkenaan.

“ Saya sudah beritahu dia, saya nak jumpa. Kalau tak nak jumpa di sidang media, saya mahu dia bersemuka dengan saya secara peribadi. Saya beri masa hingga tengah malam ini.

“ Kalau saya buat sidang media pun, kalau dia tak muncul, tiada guna juga. Saya hanya mahu dia bertanggungjawab dengan apa yang ditulis,” katanya di sidang media Star Vendors yang berlangsung di PWTC, pagi ini.

Tambah hero Kamar Kamariah ini, dia masih boleh bertolak ansur dengan tidak membuat sebarang laporan polis setakat ini.

“ Ini melibatkan maruah. Bila kau dah calar, kau nak tutup macam itu sahaja. Mana logiknya? Pemilik akaun Makcik Puaka harus bertanggungjawab.

“ Saya anggap ini cubaan untuk menjatuhkan reputasi dan karier saya. Benda yang dah calar awak nak tampal balik, si dia harus ke depan dan mohon maaf atas tindakannya,” tegas Fizz.

Ketika ditanya sama ada dia mahu mendedahkan siapa individu sebenar di sebalik akaun Makcik Puaka, Fizz memberitahu tidak akan berbuat sedemikian buat masa ini.

“ Kita tengok sampai tengah malam ini. Benda dah seminggu, saya tidak mahu lengah lagi. Jika dia tidak tampil juga, saya akan buat laporan polis dan tindakan selanjutnya akan diambil,” akhirinya.

SGMS Fas