Makin Selesa Bergelar Penyampai, Muaz Kongsi Rahsia Cepat ‘Ngam’

Hampir lapan bulan ke udara menerajui segmen Pagi Hari Di Kool FM (PHD), penyampai radio Muaz bersyukur kerana dapat bekerja dalam satu pasukan yang kuat.

Mengendali segmen PHD bersama penyampai senior AG dan juga Haiza, Muaz menceritakan dia hanya mengambil masa dua minggu untuk mendapatkan keserasian.

“ Alhamdulillah, maklum balas yang kami terima daripada pendengar adalah baik. Kekuatan chemistry sememangnya memberi ruang kepada saya untuk membuat yang lebih baik. Setiap hari, saya belajar benda baru.

“ Mungkin kami baru sahaja bergerak sebagai satu kumpulan tetapi masa untuk kami ‘ngam’ sangat cepat.

” Mereka tolak saya dalam cara yang sangat positif. Maksud tolak di sini bukan ketepikan tetapi push agar saya mengeluarkan karakter sebenar,” katanya kepada xtra.com, semalam.

Akui Muaz atau nama sebenarnya Muazanazzudin Mohamed, ada kala dia akan meluangkan masa bersama AG dan Haiza untuk berbincang mencari idea atau strategi terbaru.

“ Lepas on air biasanya kami akan lepak sekali. Kadang-kadang ketika hari cuti juga. Pendek kata, kalau ada masa terluang, pasti kami duduk bersama dan berbincang.

“ Saya amat berterima kasih kepada AG kerana dia banyak membantu saya. Saya masih ingat di minggu pertama di PHD, adakala saya tersasul atau energy yang saya beri, tak seimbang. Dia bantu saya untuk mencari keseimbangan tersebut. Mereka juga tak kedekut ilmu,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Muaz turut bersiaran di dalam rancangan Borak Kopitiam setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula 7 pagi di TV3.

 

SGMS Faida