Munafik 2 Bakal Saingi Kutipan Hantu Kak Limah?

Dua tahun lalu, filem Munafik diterima baik di Republik Indonesia. 

Susulan respon positif itu, penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam komited untuk membawa karya Munafik 2 ke negara lain pula.

Katanya, pihak syarikat merancang untuk membawa filem Munafik 2 ke Thailand, Kemboja dan Vietnam.

“ Ia sesuai bagi tontonan semua bangsa berikutan mesej yang ada di dalam Munafik 2. 

“ Ketika ini, kami dalam proses mendapatkan tarikh tayangan di ketiga-tiga negara terbabit. 

“ Ia menjadikan Munafik 2 sebagai filem pertama daripada kami yang dipasarkan ke luar Nusantara,” kata Yusof ketika berucap pada majlis tayangan perdana Munafik 2.

Filem yang menelan perbelanjaan kira-kira RM3 juta itu membariskan pelakon seperti Maya Karin, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali, Nasir Bilal Khan, Mawi dan Syamsul sendiri. 

Mengambil masa kira-kira 72 hari penggambaran dan hampir setahun untuk proses suntingan, ia juga akan ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei, mulai esok.

Pihak Skop Productions turut positif dalam jumlah kutipan memandangkan kutipan filem Hantu Kak Limah berjaya mencecah sehingga RM 32 juta.

” Kami yakin Munafik 2 juga sebuah karya yang mampu memenuhi selera penonton,” katanya.

 

Menerusi kisah susulan itu, Ustaz Adam lakonan Syamsul berdepan cabaran menyekat penyebaran ajaran sesat oleh sebuah kumpulan diketuai oleh Abuja (Nasir Bilal Khan).

SGMS Faida